Berita Menarik

Persidangan Antirasuah Sedunia (WACC) 2023: SPRM Diiktiraf Di Peringkat Global

Jakarta, 16 November - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini semakin diiktiraf dan menjadi sebahagian daripada entiti yang mencegah serta memerangi rasuah di peringkat global.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, buktinya SPRM telah banyak terlibat dengan program-program antarabangsa malah berkerjasama dengan agensi-agensi peringkat global.

"Di peringkat global ini, walaupun usaha memerangi rasuah diibaratkan seperti permainan whack-a-mole, komitmen semua perwakilan antarabangsa untuk meningkatkan kesedaran, berkongsi ilmu dan bersatu amat penting dalam usaha mewujudkan impak positif yang akan didengari di seluruh dunia.

"Sebagai inspirasi, saya memetik kata-kata dari Indonesia iaitu 'tiada gading tanpa retak' yang mengingatkan kita bahawa walaupun struktur yang paling hebat, boleh goyah jika tidak dibina di atas asas integriti," katanya.

Beliau berkata demikan ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Persidangan Antirasuah Sedunia (WACC) 2023 di Jakarta, Indonesia, hari ini.

Pada ucapannya itu juga, Tan Sri Dato' Sri Azam turut berkongsi mengenai transformasi dilaksanakan kerajaan Malaysia bagi meningkatkan tatakelola dan integriti dengan  meletakkan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), yang dahulunya di bawah Jabatan Perdana Menteri, namun kini diserapkan di bawah SPRM sebagai salah satu bahagian yang dikenali sebagai Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN).

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada International Strategic Institute (ISI) Malaysia dan Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) Indonesia yang menganjurkan persidangan berkenaan.

Persidangan Antirasuah Sedunia (WACC) 2023 yang bertemakan 'Menuju Masa Depan Bebas Rasuah: Memperkukuh Tatakelola Global Bersama-sama' ini menekankan betapa pentingnya kerjasama rentas sempadan dalam memerangi rasuah, pelanggaran undang-undang serta memastikan akauntabiliti untuk tatakelola bersih.

Turut hadir, Duta Besar Malaysia Ke Indonesia, Dato’ Syed Md Hasrin Tengku Hussin dan Penasihat Kehormat ISI Malaysia, Dato’ Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil.


Hit : 865