Kolumnis@SPRM

Tata Kelola Baik Intisari Masyarakat Madani

Mohd Gunawan bin Che Ab Aziz
Timbalan Pengarah, Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN)
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Kamus Dewan memaknakan  ‘madani’ sebagai maju daripada segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan. Jelas di sini, ia merujuk kepada keadaan dan sifat insan atau mana-mana kelompok insan itu sendiri. Apabila membincangkan berkenaan masyarakat atau negara madani, maka ia tidak dapat lari daripada makna asas ini.

Konsep madani turut dikupas oleh para ilmuwan agung seperti Al-Farabi, Ibn Khaldun dan Ibn Miskawayh sejak kurun ke-4. Al-Farabi mentafsirkan ‘madani’ adalah ‘ketamadunan’ yang menimbulkan perbahasan mengenai ‘al-Madinah al-Fadhilah’ (negara yang ideal / utama). Manakala Ibnu Khaldun pula mengembangkan berkenaan konsep ‘manusia madani’ dan kaitannya dengan masyarakat yang mencapai tahap “umran” (masyarakat yang mencapai tahap kemakmuran dan pencapaian tinggi dari segenap elemen ketamadunan).

Syah Waliyullah ad-Dehlawi (1762M) juga merupakan seorang tokoh ulama dan ahli fikir terkemuka Islam yang turut menyentuh berkenaan kemajuan peradaban atau ‘masyarakat madani’ ini. Di antara gagasan pemikiran beliau yang masyhur ialah berkenaan konsep ‘al-Irtifaqat’. Al-Irtifaqat ialah satu istilah yang digunakan oleh Syah Waliyullah bagi menunjukkan tahap kemajuan peradaban dalam sesebuah masyarakat.

Irtifaqat ialah kata jamak perkataan ‘irtifaq’ yang bermaksud lembut, selesa, baik, menolong, memberi manfaat, dan sebagainya. Syah Waliyullah menggunakannya dalam erti kata khas yang menunjuk kepada tahap pembangunan sosioekonomi yang berbeza bagi sesebuah masyarakat.

Menurut beliau terdapat empat tahap irtifaqat bagi perkembangan sesebuah masyarakat madani itu. Irtifaq pertama, kehidupan masyarakat primitif yang hanya berorientasi untuk memenuhi keperluan dasar. Irtifaq kedua, manusia mula meningkat pemikirannya dan mula memikirkan bagaimana mendapatkan kehidupan yang lebih munasabah. Irtifaq ketiga, taraf kehidupan kota dan Irtifaq keempat ialah bagaimana manusia mencapai puncak peradaban.

Irtifaq ketiga inilah yang merujuk kepada konsep sebuah masyarakat madani dan boleh memacu terbentuknya sebuah peradaban manusia di peringkat global.

Bagi Syah Walyullah, yang dimaksudkan ‘kota’ bagi Irtifaq ketiga ini bukanlah merujuk sekadar tembok, pasar atau bangunan. Sebaliknya kota itu merupakan satu bentuk hubungan antara kumpulan manusia yang berbeza, berdasarkan urusan dan kerjasama sesama mereka. Keperluan untuk memelihara dan menata hubungan ini memerlukan wujudnya pentadbiran yang berkesan serta perlu ditata kelola dengan baik. Definisi berkesan dan baik di sini bermaksud dengan apa yang dikatakan baik oleh wahyu dan syariah.

Walaupun Syah Waliyullah membincangkan empat Irtifaqat ini berlandaskan perkembangan sosioekonomi sesebuah masyarakat, bagaimanapun kesemua irtifaqat ini dijalin dengan konsep ‘demi mencapai keredhaan Allah’ yang diistilahkan oleh beliau dengan istilah ‘Iqtirabat’; iaitu cara dan peringkat penyucian serta pembangunan rohaniah diri. Masyarakat madani bagi Syah Waliyullah ialah hasil daripada proses melalui pengalaman peningkatan empat tahap Irtifaqat sesebuah masyarakat bagi terhasilnya Iqtirabat ini.

Syah Waliyullah menyenaraikan lima institusi yang perlu ada bagi mengelola pentadbiran masyarakat di tahap Irtifaq ketiga atau masyarakat madani ini. Institusi tersebut ialah badan kehakiman, eksekutif, polis dan tentera, kebajikan dan kerja awam serta hal ehwal agama dan moral. Ia bertujuan supaya kemajuan negara kota atau masyarakat madani ini dapat diteruskan dan pemantauan ke atas isu rasuah, penyalahgunaan, kekacauan dan kerosakan.

Berlandaskan konsep Irtifaqat dan Iqtirabat ini, dapat disimpulkan bahawa masyarakat madani itu amat menekankan berkenaan tata kelola berkesan, pengukuhan integriti dan kawalan dalaman terhadap korupsi.

Oleh itu, untuk negara kita menjadi sebuah negara yang madani, pengukuhan ekosistem tata kelola baik dan berkesan sangat diperlukan. Sejarah dunia telah menunjukkan bahawa sebuah empayar besar yang berusia ratusan tahun sekalipun, akan berakhir dengan keruntuhan jika pentadbirannya tidak dilaksanakan berasaskan tata kelola yang baik.

Hit : 1448