Garis Masa Kes

OP Jana Wibawa 1 (Tan Sri Dato' Haji Mahiaddin bin Md. Yasin)

Siasatan SPRM

Siasatan bermula dari 3 Januari 2023 berkaitan syarikat-syarikat yang menerima dana daripada kerajaan di bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Projek Jana Wibawa).

Projek Jana Wibawa dilaksanakan selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 April 2020 dengan objektif untuk membantu kontraktor Bumiputera melalui pemberian kontrak secara rundingan terus dengan latar belakang kelembapan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Di bawah program ini, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM12.25 bilion bagi pelaksanaan 89 projek pembinaan jalan, bangunan dan infrastruktur. Daripada 89 projek ini, hanya 56 projek telah dikeluarkan SST dan melibatkan kos sebanyak RM6.5 bilion.

Siasatan SPRM tertumpu kepada 29 buah syarikat yang melibatkan 31 kontrak dengan nilai RM4.79 bilion.

Hasil siasatan mendapati modus operandi bagi isu ini adalah “Orang Tengah” dikesan meletakkan syarat supaya kontraktor yang berjaya melalui kaedah rundingan terus hendaklah bersetuju untuk memberi sumbangan kepada sebuah Parti Primbumi Bersatu Malaysia (PPBM) dengan sejumlah peratusan daripada nilai projek.

Op Jana Wibawa 1
Siasatan OP JW 1 adalah berkenaan dengan penyalahgunaan kuasa oleh bekas Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin atau lebih dikenali sebagai Muhyiddin Yassin, yang mana beliau didapati membantu syarikat kontraktor mendapatkan projek rundingan terus bagi penyumbangan dana kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Siasatan mendapati adanya unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam jawatannya sebagai Perdana Menteri ketika itu yang melibatkan nilai rasuah sejumlah RM30 juta daripada nilai projek dana yang terlibat sebanyak RM6 bilion.

Pertuduhan dan Perbicaraan

10 Mac 2023 dan 13 Mac 2023 – Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadapi tujuh pertuduhan, iaitu empat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan tiga kes di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan Shah Alam. Muhyiddin mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.

11 Julai 2023 – Muhyiddin Yassin memfailkan notis usul dan affidavit sokongan yang mendakwa empat pertuduhan menggunakan kedudukan yang didakwa ke atasnya adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah.

4 Ogos 2023 – Pengurusan Kes di Mahkamah Kuala Lumpur

15 Ogos 2023 – Keputusan notis usul dan afidavit sokongan 11 Julai 2023, Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan Muhyiddin Yassin daripada pertuduhan Seksyen 23 ASPRM 2009 manakala pertuduhan di bawah AMLATFPUAA 2001 masih diteruskan.

15 Ogos 2023 – Pendakwa Raya memfailkan notis Rayuan terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Muhyiddin Yassin

19 September 2023 – Sebutan di Mahkamah Sesyen untuk mendengar permohonan pendakwaan supaya empat tuduhan rasuah dan tiga tuduhan menerima wang hasil aktiviti haram dibicarakan bersama. Oleh kerana satu notis rayuan sudah difailkan untuk keseluruhan keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Muhyiddin, pendakwaan memohon untuk perbicaraan bersama ditangguhkan.

21 September 2023 – Pendakwaan memfailkan satu permohonan di Mahkamah Sesyen untuk prosiding ditangguhkan sehingga kes rayuan diputuskan. Tarikh 29 November 2023 ditetapkan untuk mengemaskinikan status kes di Mahkamah Rayuan berkenaan rayuan terhadap keputusan mahkamah tinggi Kuala Lumpur.

27 September 2023 – Mahkamah Rayuan menetapkan selama dua hari iaitu pada 28 dan 29 Februari 2024 bagi pendengaran rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta.

28 Februari 2024 – Mahkamah Rayuan memutuskan empat pertuduhan ke atas Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta adalah kekal. Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail selepas membenarkan rayuan pendakwa raya agar kes tersebut dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut.

3 April 2024 – Sambungan semula penyerahan dokumen 51A di Mahkamah Sesyen



Maklumat ini telah dikemaskinikan pada 15 Mac 2024.


Status Kes

Mahkamah Rayuan memutuskan empat pertuduhan ke atas Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah kekal dan kes tersebut dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut..


Laporan Media

Kenyataan Media

Hit : 5334