Berita Terkini

Program Pembanterasan Rasuah Komuniti Masjid Bersama Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)

KUALA LUMPUR, 22 Okt – Pengurusan masjid disaran untuk meningkatkan keberkesanan berkomunikasi dan memperjelaskan secara telus apabila timbulnya keraguan di kalangan kariah mengenai isu berkaitan pengurusan dan pentadbiran masjid bagi mengelakkan sebarang tanggapan buruk dan fitnah.

 

 

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan di majlis penutup Program Pembanterasan Rasuah Komuniti Masjid Bersama Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Masjid Wilayah Persekutuan.

 

 

"Bagi memitigasikan risiko dan mencegah rasuah turut disarankan agar pihak pengurusan dan jawatankuasa masjid dapat memastikan kewangan masjid diuruskan mengikut tatakelola garis panduan dan peraturan-peraturan kewangan yang berkuatkuasa serta ditadbirkan secara beramanah, telus, adil dan beretika," katanya.

 

 

Sementara itu, Datuk Hajah Hakimah Mohd Yusoff, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam membaca ucapan perasmian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, selain mengimarahkan masjid dan surau dengan pelbagai aktiviti pengimarahan, aspek integriti dan tatakelola pengurusan kewangan juga menjadi perkara penting yang mesti diberikan perhatian oleh pentadbir masjid dan surau.

 

 

Program ini dihadiri 150 ahli jawatankuasa pengurusan masjid daripada 6 zon Wilayah Persekutuan. Program bermula dengan sesi ceramah bertajuk "Kesalahan Rasuah Dan Penyelewengan Yang Sering Berlaku Dalam Pengurusan Masjid" dan forum bertajuk "Isu-isu Ketirisan Dalam Tatakelola Kewangan Masjid" yang melibatkan ahli panel daripada SPRM, JAWI dan PUM.

 

 

Program diakhiri dengan Majlis Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh Pengerusi Masjid Zaid bin Harisah, Hj Mohd Aizul dengan disaksikan Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Muhamad Fauzi Bin Husin @ Che Mamat.

 

 

Turut hadir Pengarah JAWI, Datuk Haji Mohd Ajib Ismail; Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM, Datuk Izani Wan Ishak; Pengerusi PUM Kuala Lumpur, Datuk Haji Mohamad Abdullah dan Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan, Al-Fadhil Ustaz Rozimi Zamri.

Hit : 1863