Berita Terkini

Jawatankuasa Anti-Rasuah Integrated System (JARIS) menggalas Usaha Basmi Rasuah Peringkat Kebangsaan

KPKPj Puan Lim Bee Kean

Pengarah Bahagian Urus Tadbir Sektor Awam (BUTSA)

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)


Kes-kes rasuah yang membabitkan kes high-profil dan berkepentingan awam sentiasa menarik perhatian umum. Operasi besar-besaran SPRM melumpuhkan sindiket dan kartel, seperti Op Tropicana (sindiket scammer), Op Jaguar (sindiket melupuskan sisik tenggiling), Op Hire (tuntutan palsu Penjana Kerjaya) adalah hasil siasatan dan risikan pegawai penyiasat SPRM.


Walaupun siasatan dan operasi dilihat sebagai teras Suruhanjaya ini, namun ia hanya sebahagian sahaja daripada fungsi dan peranan SPRM seperti yang dihuraikan dalam Matlamat utama Akta SPRM 2009.


Akta SPRM 2009 menjelaskan matlamat utamanya adalah untuk “menggalakkan integriti dan kebertanggungjawaban pentadbiran sektor awam dan swasta” serta “mendidik pihak berkuasa awam, pegawai awam dan orang awam tentang rasuah dan kesan buruknya terhadap pentadbiran...”


Oleh sebab itu, usaha membasmi rasuah tidak boleh hanya tertumpu kepada penangkapan pesalah kerana tanpa pendidikan serta pengurusan pentadbiran dan governans yang lebih telus dan efisien, ruang dan peluang rasuah akan sentiasa terbuka bagi mereka yang mencari kesempatan.


Di sini, sebuah jawatankuasa merentas agensi, iaitu Jawatankuasa Anti-Rasuah (JAR) telah ditubuhkan untuk meningkatkan kecekapan dan ketelusan tata kelola pengurusan dan pentadbiran kerajaan persekutuan, negeri dan agensi ke arah negara bebas rasuah.


Apakah peranan utama JAR dalam usaha membanteras rasuah?


JAR telah dibangunkan bersama dengan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) sejak 2019 untuk mencapai visi negara bebas rasuah dan tata kelola pentadbiran yang berintegriti terutamanya dalam sektor perkhidmatan awam.


Bahagian Urus Tadbir Sektor Awam (BUTSA) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selaku Urus Setia JAR Peringkat Kebangsaan memastikan keseragaman pengurusan JAR yang berperanan untuk menentukan isu-isu berimpak tinggi yang merentasi agensi serta mencadangkan langkah-langkah penyelesaian dan penambahbaikan kepada JKKMAR.


JAR merupakan platform kerajaan untuk meningkatkan kecekapan dan ketelusan pengurusan kerajaan yang menumpukan kepada tiga bidang utama iaitu pengukuhan governans, pemantapan integriti dan antirasuah. Sistem pentadbiran yang lebih bersih, telus, efektif dan terbuka menjadi agenda utama melalui tindakan mencegah penyelewengan dan ketirisan dana kerajaan demi kebajikan rakyat dan kepentingan negara.


Bagaimana pula keanggotaan JAR?


JAR dianggotai oleh Ketua Perkhidmatan Awam, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Audit Negara, Peguam Negara, semua Ketua Setia

Usaha (KSU) Kementerian Persekutuan, semua Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan lain-lain ahli yang difikirkan perlu.


Apakah antara kejayaan JAR?


Antara kejayaan JAR adalah mengesyorkan penubuhan Single Border Agency (SBA) untuk menangani ketidakseragaman dan kekurangan pegawai penguatkuasa yang kritikal di pintu-pintu masuk sempadan negara.


Isu ini boleh membuka ruang untuk aktiviti rasuah di sempadan negara yang boleh menggugat keselamatan negara. Hasil daripada perbincangan lanjut di dalam Mesyuarat JAR Peringkat Kebangsaan telah memutuskan supaya Pasukan SBA dikuatkuasakan pada 11 November 2021.


Kini, dalam peringkat akhir pelaksanaan, penubuhan SBA boleh meningkatkan integriti pengurusan di pintu masuk negara khususnya kawalan dan pemeriksaan keluar masuk terhadap orang, kenderaan, barangan dan binatang, selain dapat membantu mengoptimumkan sumber negara.


JAR juga telah mengesyorkan kewujudan SOP berkaitan Pengurusan Sumbangan/ Hadiah oleh Agensi Awam daripada Pihak Luar bagi tujuan Bencana Alam. Dalam hal ini, Jabatan Perkhidmatan Awam sedang menambahbaik Tatacara Pemberian dan Penerimaan Hadiah dalam Perkhidmatan Awam dengan mengambil kira syor SPRM untuk meningkatkan ketelusan dan keseragaman mengenai pengurusan penerimaan dan permohonan sumbangan oleh agensi awam daripada pihak luar, sekali gus menutup ruang dan peluang rasuah dan penyelewengan daripada berlaku.


Selain itu, isu permohonan surat sokongan oleh pihak luar contohnya syarikat yang mempunyai urusan rasmi dengan kementerian juga sesuatu isu yang boleh membuka ruang dan peluang untuk penyelewengan dan salah guna kuasa.


Mesyuarat JAR telah memutuskan dan bersetuju supaya surat sokongan dalam apa jua bentuk adalah tidak dibenarkan, selaras dengan Inisiatif 1.3.1. Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang melarang Anggota Pentadbiran atau individu berpengaruh daripada mengeluarkan surat sokongan ke atas mana-mana permohonan atau projek.


Apakah usaha terkini BUTSA untuk memantapkan fungsi dan peranan JAR?


Jawatankuasa Anti-Rasuah Integrated System (JARIS) mula dibangunkan pada bulan Ogos 2021 melalui kerjasama di antara BUTSA dan Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat (BPRM), SPRM.


JARIS merupakan salah satu perancangan di dalam Pelan Strategik SPRM 2021 – 2025 di bawah inisiatif Pemantapan Governans, Integriti dan Antirasuah: 


Pembangunan sistem pelaporan bagi isu berkaitan governans, integriti dan antirasuah yang berimpak tinggi dan merentasi agensi.


Apakah kelebihan JARIS?


Sistem JARIS adalah merupakan satu sistem teknologi maklumat yang melibatkan pengurusan dokumen mesyuarat, pengemukaan dan pemantauan maklum balas minit mesyuarat dan pelaporan isu JAR.


Sistem ini bertujuan untuk menguruskan JAR dengan lebih pantas dan efisien disamping memudahkan pemantauan oleh KSU dan SUK ke atas tindakan yang perlu atau masih belum diambil tindakan oleh kementerian dan kerajaan negeri.


Selain mengurangkan human error, JARIS juga menjadi platform kepada perkongsian dokumen dan amalan terbaik kementerian atau kerajaan negeri secara berpusat kerana semua dokumen akan disimpan dalam satu pangkalan data dan bukannya disimpan dalam komputer masing-masing. Malah, rekod pengemukaan dan penghantaran maklum balas atau laporan isu masih kekal di dalam sistem walaupun pegawai JAR kementerian atau kerajaan negeri bertukar.


Di samping itu, sistem JARIS ini juga berjaya menjadi pangkalan pusat data dalam mengumpul semua dokumen Organisational Anti-Corruption Plan (OACP) yang telah dibangunkan oleh kementerian, kerajaan negeri dan agensi masing-masing serta menjadi platform kepada penyimpanan dokumen kementerian, kerajaan negeri dan agensi yang telah memperoleh pensijilan Anti-Bribery Management System (ABMS).


Pembangunan JARIS secara dalaman oleh Urus Setia SPRM tanpa melibatkan sebarang kos telah memudahkan pengurusan maklum balas dan laporan isu JAR kerana sistem ini boleh diakses di mana-mana sahaja tanpa mengira waktu, menjadikan sistem ini sebagai satu sistem pengurusan serta pemantauan yang efektif dan berkesan, sekali gus menggalas usaha membanteras rasuah di semua peringkat pentadbiran kerajaan.


Hit : 1853