Berita Terkini

Pengurusan Integriti Dalam Membangun Malaysia MADANI

Dato’ Nor Azmi bin Karim
Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Gagasan Malaysia Madani yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan satu platform menjadikan Malaysia sebuah negara membangun, sejahtera, berdaya saing serta harmoni dengan rakyat yang berbilang kaum dan agama.

Terdiri daripada enam tonggak dasar iaitu M (keMampanan), A (kesejAhteraan), D (Daya cipta), A (hormAt), N (keyakiNan) dan I (Ihsan), agenda Madani bukan sahaja memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah dan memenuhi keperluan sedia ada tetapi turut menyentuh masa depan dengan mengambil kira potensi rakyat serta negara.

Gagasan tersebut turut disasarkan meneroka dan memperkukuh lapan keperluan iaitu ekonomi dan kewangan; perundangan, pendidikan, kemasyarakatan, budaya, bandar dan luar bandar serta turut memberi keutamaan kepada soal keyakinan dan kemanusiaan.

Hari ini ketika negara sedang menuju ke arah status negara maju, perlu ada kesedaran bersama dalam kalangan semua pihak untuk menghidupkan semula kekuatan bangsa tanpa meninggalkan nilai dan kemanusiaan.

Ke arah itu, penanda aras keenam dalam Ekonomi Madani ditujukan untuk memperkasakan Malaysia pada kedudukan ke-25 Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dikeluarkan Transparency International (TI) dalam tempoh 10 tahun akan datang dan pemerkasaan usaha membanteras rasuah ini dilihat seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals - SDG) ke-16 di mana matlamat tersebut disasarkan untuk mewujudkan masyarakat aman dan inklusif demi pembangunan mampan, menyediakan akses kepada keadilan untuk semua dan membina institusi berkesan, bertanggungjawab dan inklusif pada semua peringkat.

Yang pasti, usaha untuk meningkatkan CPI negara bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata kerana semua pihak harus mengambil peranan masing-masing untuk meningkatkan imej serta persepsi dalam dan luar ke atas negara terutama aspek berkaitan integriti, tata kelola dan pencegahan rasuah.

Matlamat tersebut mungkin dilihat sukar oleh sesetengah pihak, namun tidak mustahil untuk dicapai. Ia pasti dapat direalisasikan sekiranya usaha bersepadu, terancang, bersungguh-sungguh dan berterusan dilaksanakan oleh semua pihak sama ada di peringkat Perkhidmatan Awam, Syarikat Berkaitan Kerajaan (SBK), pihak swasta, Pertubuhan Bukan Kerajaan mahupun masyarakat umum melalui pembudayaan integriti dan pengukuhan tata kelola yang baik dalam semua urusan.

Di samping langkah-langkah pentadbiran serta kempen-kempen pencegahan terus dilaksanakan, inisiatif berbentuk reformasi undang-undang (law reform) juga hendaklah diperkasakan bagi memastikan jenayah rasuah terhapus sehingga ke akar umbi dan tidak menjadi amalan atau budaya dalam kehidupan.

Misalnya, pengenalan peruntukan liabiliti korporat yang merujuk kepada Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 iaitu kesalahan oleh organisasi komersial merupakan satu penambahbaikan yang dilaksanakan bagi mengekang jenayah di sektor swasta.

Peruntukan tersebut telah mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2020. Pihak SPRM dilihat tidak berhenti setakat itu sahaja. Terdapat usaha terbaru untuk memperkukuhkan usaha pencegahan rasuah di sektor tersebut dengan memperkenalkan Perjanjian Penangguhan Pendakwaan (Deferred Prosecution Agreement) yang banyak digunakan oleh negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura.

Umum mengetahui SPRM menggunakan pendekatan serampang tiga mata dalam membanteras jenayah rasuah di Malaysia iaitu melalui tindakan operasi, pencegahan dan pendidikan antirasuah. Namun, satu peranan penting yang jarang diketahui oleh masyarakat adalah daripada aspek pengurusan dan penggalakan integriti sama ada di sektor awam dan swasta. Aspek ini merupakan salah satu matlamat utama yang terkandung dalam Akta SPRM 2009.

Peranan pengurusan integriti tersebut dipertanggungjawabkan kepada Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA) yang merupakan antara bahagian baharu dalam SPRM. Ditubuhkan pada 1 Jun 2013, BPIA berperanan untuk memperkukuhkan institusi dan menggalakkan pembudayaan integriti khususnya di Perkhidmatan Awam dan SBK.

Peranan ini diperincikan melalui pengenalan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (2022) Ceraian S.P. 1.2.1 (dahulunya Pekeliling Perkhidmatan Bil. 6 Tahun 2013) berhubung Penubuhan Unit Integriti (UI) di Semua Agensi Awam dan Arahan YAB Perdana Menteri No. 1 Tahun 2018 Siri 1 Bil. 1 Tahun 2018 mengenai Penubuhan Unit Integriti Dan Governans (IGU) SBK, syarikat-syarikat yang dimiliki oleh kementerian dan agensi kerajaan termasuk di bawah kerajaan negeri.

Untuk mencapai objektif penubuhannya, BPIA melalui pekeliling dan Arahan YAB Perdana Menteri berkenaan telah diberikan tanggungjawab untuk mengawal selia, memberi khidmat nasihat, membangunkan dasar integriti dan melaksanakan penarafan risiko bagi memastikan pengurusan integriti di sektor awam dan SBK dilaksanakan dengan teratur dan efektif mengikut fungsi teras masing-masing.

Sehingga 31 Ogos 2023, rekod BPIA menunjukkan sejumlah 522 agensi awam telah menubuhkan UI di peringkat masing-masing manakala sejumlah 632 IGU telah ditubuhkan di peringkat SBK. Bagi agensi awam dan SBK yang tidak berupaya menubuhkan UI atau IGU disebabkan kekangan perjawatan, saiz organisasi yang kecil atau penubuhan UI atau IGU di organisasi induk sahaja, majoriti di kalangan organisasi tersebut telah melantik Pegawai Perhubungan Integriti yang melaksanakan sebahagian daripada fungsi teras yang ditetapkan.

Pada masa sama, BPIA turut bertanggungjawab menguruskan penempatan Pegawai Kanan SPRM yang berwibawa sebagai Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) di UI dan IGU organisasi luar di mana mereka ini akan berperanan membantu pelaksanaan dan pengurusan fungsi teras UI dan IGU dengan lancar dan teratur serta dalam masa sama bertindak sebagai pegawai agensi penguatkuasaan bagi memberi perlindungan selaras dengan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Penempatan mereka yang telah terlatih itu secara langsung dapat membantu organisasi berkaitan untuk mencegah rasuah, salah laku dan penyelewengan dengan lebih baik dan berkesan di samping memantapkan pengurusan integriti serta tata kelola di organisasi terbabit.

Sehingga 2 Oktober 2023, seramai 77 pegawai SPRM telah ditempatkan secara kader dan pinjaman di organisasi luar. Daripada jumlah tersebut, 36 pegawai SPRM telah ditempatkan di kementerian, 27 orang di jabatan, 1 orang di Pihak Berkuasa Tempatan, 5 orang di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), 1 orang di badan berkanun manakala 7 orang lagi ditempatkan di SBK.

Pengurusan integriti melalui penubuhan UI dan IGU di sektor awam dan SBK merupakan satu inisiatif dan langkah positif kehadapan yang wajar dipuji. Namun penubuhannya semata-mata tidak akan memberikan impak jangka panjang yang dihasratkan dalam membangunkan Malaysia Madani tanpa mewujudkan komitmen kepimpinan yang berterusan.

Pihak terbabit perlu bekerjasama dengan SPRM melaksanakan inisiatif pencegahan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa di organisasi masing-masing. Pengukuhan dan pembudayaan integriti perlu dilaksanakan dengan terancang dan penuh keikhlasan di samping sentiasa menambah baik dan memantapkan tata kelola organisasi dari semasa ke semasa mengikut persekitaran yang sentiasa berubah dan mencabar.

Salah satu contoh komitmen kepimpinan yang dapat dilihat adalah penganjuran Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) 2023 oleh Kerajaan Negeri Sabah yang telah dilaksanakan dengan kerjasama SPRM bermula 16 hingga 18 Oktober ini, di Sabah International Convention Centre (SICC). Penganjuran KITA ini turut dihasratkan untuk menjadi agenda tahunan yang diharap menjadi kebanggaan (flagship) dan sumbangan Negeri Sabah dalam memperkasa agenda integriti dalam kalangan penjawat awam serta swasta.

Konvensyen selama dua hari itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Nor dan turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Bin Baki.

Dengan bertemakan ‘Integriti Teras Perkhidmatan Madani’, antara objektif utama penganjuran konvensyen ini adalah untuk meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan keunggulan sahsiah diri peserta di samping memberi pendedahan serta memperkaya pengalaman peserta dalam memantapkan pembudayaan nilai-nilai tata kelola, integriti dan antirasuah melalui perkongsian ilmu, inspirasi kejayaan dan budaya berprestasi tinggi.

Konvensyen yang julung-julung kali diadakan melibatkan UI ini bakal mencipta sejarah tersendiri apabila sesi perkongsian ilmu berkaitan aktiviti pencegahan rasuah termasuk segala bentuk penyampaian maklumat berkaitan rasuah serta integriti memberi manfaat kepada semua kumpulan sasaran yang terdiri daripada penjawat awam.

Komitmen kepimpinan Kerajaan Negeri Sabah dalam membudayakan agenda integriti ini merupakan kesinambungan daripada Arahan YAB Ketua Menteri Sabah No. 1 Tahun 2023: Pemantapan Governans, Integriti dan Antirasuah Dalam Pentadbiran Negeri Sabah Bilangan 1 Tahun 2023 berhubung Pekeliling Integriti Perkhidmatan Negeri Sabah (PIPANS) dan PIPANS Bilangan 1 Tahun 2023 mengenai Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah (BIGoNS).

Pengenalan Arahan dan pekeliling tersebut diharap menjadi pemangkin kepada pewujudan beberapa arahan YAB Ketua Menteri dan PIPANS yang baru bagi memastikan kecemerlangan tadbir urus yang berintegriti dilaksanakan dengan cekap dan efektif ke arah mencapai hala tuju Sabah Maju Jaya

Hit : 5286