Berita Terkini

Integriti Perlu Menjadi Amalan Dalam Kehidupan Seharian - KP

Kuala Lumpur, 6 Okt - Integriti perlu dijadikan amalan menerusi perbuatan serta tindakan dalam kehidupan seharian dan tidak sekadar diluahkan dengan kata-kata.


Itu harapan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dato' Sri Haji Azam Baki terhadap warga serta pihak berkepentingan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bagi memastikan syarikat minyak dan gas multinasional Malaysia ini dapat menyumbang kepada pengukuhan tadbir urus negara seterusnya mengukuhkan industri berkenaan.


"Setinggi-tinggi penghargaan kepada Petronas kerana telah mengambil langkah penting dalam merangsang industri minyak dan gas untuk menyumbang kepada tadbir urus negara kita yang mampan serta secara tidak langsung memberi sokongan kepada pengawal selia.


"Tetapi sebaik kita meninggalkan ruangan majlis pada hari ini, ingatlah bahawa setiap tindakan tidak kira biarpun kecil, ianya mempunyai potensi untuk mencipta perubahan. Komitmen kolektif yang kita laksanakan bersama-sama ini juga mampu menggerakkan 'gunung' dan mengubah industri dalam aspek integriti," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada program Integrity Alliance Ceremony 2023 bertemakan 'Fortifying Trust Through Proactive Integrity' anjuran Petronas yang dirasmikan bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik di Kuala Lumpur Convention Centre di sini, hari ini.


Tan Sri Dato' Sri Azam turut menyatakan bahawa dalam urusan perniagaan pada masa kini, pihak-pihak berkepentingan memberi pendirian sifar toleransi (zero tolerance) terhadap perbuatan tidak beretika, rasuah serta penyelewengan.


Katanya, dengan penelitian yang tinggi terhadap isu integriti, pihak-pihak berkepentingan ini menuntut ketelusan dan akauntabiliti selain komitmen tidak berbelah bahagi terhadap standard etika paling tinggi.


Beliau turut berkongsi mengenai pendirian SPRM yang menyambut Ulang Tahun Ke-56 pada tahun ini dengan tema 'Amanah, Tegas dan Adil', yang menjadi bukti komitmen dalam melaksanakan tanggungjawab, ketegasan dalam menentang rasuah serta adil yakni bebas tanpa sebarang campur tangan dalam mememerangi rasuah.


Pada program ini juga, turut diadakan sesi dialog bertajuk 'Fortifying Trust Through Proactive Integrity' yang menampilkan Tan Sri Tengku Muhammad dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali.


Turut hadir Ketua Pegawai Integriti Petronas, KPKPj Mohamad Zakkuan Talib.

Hit : 1214