Berita Terkini

Pendakwaan kes rasuah usah ada pilih kasih

Dr Mohd Rahim Khamis
Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan,
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM)
 
Rasuah adalah masalah global merosakkan integriti institusi, merugikan pembangunan ekonomi dan merencatkan kemakmuran sosial. Oleh itu, banyak negara dan organisasi antarabangsa mengambil langkah tegas memerangi rasuah menerusi undang-undang, inisiatif integriti dan pendidikan awam.

Langkah ini bertujuan meningkatkan akauntabiliti, ketelusan dan budaya integriti dalam masyarakat dan sektor awam. Walaupun pelbagai usaha diambil dan dilakukan untuk membanteras rasuah, ia tetap berlaku sama ada dalam kalangan orang kenamaan (VIP) atau orang biasa.

Apa yang menjadi persoalan, seandainya individu terbabit rasuah tidak mempunyai sebarang kedudukan dan pangkat, tindakan terhadap mereka biasanya pantas diambil, tetapi jika membabitkan VIP, ia berbeza pendekatan seperti wujud amalan pilih kasih. Hakikatnya, sesiapa sahaja didapati terbabit dengan rasuah tetap memberi implikasi ke atas kesejahteraan sosioekonomi negara.

Dalam hal ini, mengapa kerajaan sesebuah negara.amat serius menangani isu rasuah ini. Sudah semestinya rasuah akan mengakibatkan pengagihan sumber negara tidak seimbang dan hanya sebelah pihak sahaja menikmatinya. Sumber yang ada dan keuntungan negara dialihkan kepada individu atau entiti terbabit rasuah.

Ini bermakna sumber sepatutnya digunakan untuk pembangunan ekonomi, perkhidmatan awam atau program sosial boleh disalahgunakan untuk kepentingan peribadi. Akhirnya negara mengalami kerugian dan kedudukan sosioekonomi rakyat serta negara terjejas.
 
Tingkat ketidakadilan ekonomi
Di samping itu, rasuah juga akan menjejaskan kepercayaan pelabur asing. Negara terkenal dengan rasuah mungkin pasti kurang menjadi tarikan bagi pelabur asing. Pelabur cenderung mengelak negara yang sistem ekonominya dicemari amalan rasuah kerana ia meningkatkan risiko pelaburan dan menurunkan keyakinan dalam peraturan.

Dalam pada itu, rasuah juga boleh mengekang pertumbuhan ekonomi kerana ia menyebabkan pembaziran sumber dan menghalang perkembangan sektor penting seperti perniagaan kecil dan sederhana. Ini menghalang inovasi dan penciptaan pekerjaan.

Amalan rasuah tidak terkawal dalam sesebuah negara juga boleh meningkatkan ketidakadilan ekonomi yang mana amalan in sering menguntungkan individu atau kumpulan mempunyai hubungan politik atau kuasa, dan akhirnya menyebabkan kesenjangan ekonomi lebih besar antara golongan kaya dan miskin. Ini boleh merosakkan kesejahteraan sosial dan politik.

Hari ini, kerajaan dilihat serius menangani isu kenaikan kos sara hidup dan mengawal kenaikan harga barang. Namun, mungkin ramai tidak menyedari peningkatan harga barang ini ada kaitan dengan amalan rasuah sehingga menyebabkan peningkatan kos perniagaan, harga barangan dan perkhidmatan.

Maka, dalam usaha menangani peningkatan harga barang dalam pasaran, apa yang perlu diambil kira adalah bagaimana untuk memastikan tiada amalan rasuah berlaku pada semua peringkat rantaian.

Perlu difahami apabila kurangnya kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan institusi negara menangani rasuah, akhirnya ia boleh membawa kepada ketidakstabilan politik dan sosial. Justeru, langkah meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan penguatkuasaan undang-undang adalah penting untuk mengatasi masalah rasuah daripada terus berleluasa.

Penafian : Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pendirian rasmi SPRM.   

Hit : 1666