Kolumnis@SPRM

Di sebalik salah faham keputusan ‘dilepaskan tanpa dibebaskan’ oleh mahkamah

Prof. Dr. Haidar Dziyauddin
Penasihat Undang-Undang 
Universiti Teknologi Mara

Istilah dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) yang digunakan di mahkamah ketika proses pendakwaan kes jenayah rasuah sering kali disalah tafsir oleh ramai pihak terutamanya dalam kalangan yang tidak mempunyai latar belakang bidang perundangan.

Keadaan seumpama ini mencetuskan spekulasi dan mengakibatkan persepsi negatif terhadap pihak berkuasa serta badan kehakiman negara apabila maksud DNAA tidak difahami dengan betul dan tujuan di sebalik perundangan itu diwujudkan.

Perkara ini sering timbul apabila pihak media membuat liputan mengenai pendakwaan kes di mahkamah sebelum melaporkan keputusan DNAA oleh Hakim.

Lebih memberi kesan apabila ia melibatkan individu berprofil tinggi, contohnya dalam kes pendakwaan Riza Aziz anak tiri kepada bekas Perdana Menteri, Najib Razak yang dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan pengubahan wang haram AS$248 juta (RM1.25 bilion) yang dikaitkan dengan dana 1MDB pada tahun 2020.

Sebab itulah kemarahan dalam kalangan masyarakat mengenai keputusan DNAA sering kali berlaku kerana ia disalah tafsir sebagai DNA (dilepaskan dan dibebaskan) sedangkan kedua-dua keputusan itu adalah dua perkara yang berbeza.

Menerusi DNAA, orang kena tuduh (OKT) memang akan dilepaskan daripada pertuduhan yang sedang dihadapi ketika itu, bagaimanapun, individu itu pada bila-bila masa boleh dihadapkan di mahkamah atas pertuduhan yang sama.

Terdapat pelbagai situasi yang boleh mendorong kepada keputusan DNAA termasuk isu teknikal dan ramai tidak tahu bahawa ia sebenarnya memanfaatkan kedua-dua pihak sama ada pendakwaan atau defendan.

DNAA juga membolehkan pendakwaan semula dengan bukti yang lebih kukuh, dan ini akan mendorong kepada pendakwaan yang tidak dapat dicabar pihak defendan.

Antara kes terbesar yang diumum sebagai DNAA namun berjaya dijatuhkan hukuman adalah pertuduhan terhadap Najib apabila beliau pada 7 Februari 2019, dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada tiga tuduhan tambahan pengubahan wang haram berjumlah RM47 juta.

Bagaimanapun, pada keesokan harinya, ahli Parlimen Pekan itu didakwa semula atas pertuduhan sama di Mahkamah Sesyen sebelum kes itu ditamatkan apabila Najib didapati bersalah bersama empat pertuduhan lain di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

Manakala empat pertuduhan lain itu ialah tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa membabitkan dana SRC, bekas anak syarikat 1MDB.

Secara umumnya, ramai dalam kalangan masyarakat suka membuat kesimpulan yang salah berhubung keputusan DNAA kerana mereka tidak betul-betul memahami betapa kompleksnya pihak berkuasa menyiasat kes melibatkan rasuah dan pengubahan wang haram.

Kes rasuah melibatkan sekurang-kurangnya dua orang. Justeru, jika individu yang terlibat adalah ramai dan ia membabitkan dana yang begitu banyak, sudah tentu SPRM memerlukan masa untuk menyiasat sebelum dapat lakukan tangkapan untuk menumpaskan sindiket tersebut.

Di Malaysia, pelaksanaan DNAA tidak mempunyai had masa untuk individu tersebut didakwa semula atas pertuduhan sama, jadi ini membolehkan pihak berkuasa mengambil masa mereka untuk melakukan siasatan terperinci.
Hit : 2539