Berita Terkini

IGU Berperanan Banteras Rasuah Selaras Langkah Jadikan Malaysia Terkenal Dengan Integriti - KP SPRM

Kuala Lumpur, 4 Sept - Unit Integriti dan Governans (IGU) yang ditubuhkan di sektor swasta terutama di syarikat berkepentingan kerajaan (GIC) membabitkan syarikat milik Kementerian, agensi Kerajaan termasuk di peringkat negeri merupakan langkah kerajaan untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara yang terkenal dengan integriti dan bukannya rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato' Sri Haji Azam Baki berkata, IGU juga merupakan komitmen kerajaan untuk memupuk budaya kerja berintegriti bercirikan ketelusan, yang tidak terikat kepada kepentingan peribadi serta pematuhan terhadap peraturan undang-undang.

"Penubuhan IGU ini bukanlah satu perkara pilihan tetapi secara jelasnya adalah berdasarkan arahan Perdana Menteri untuk mengukuhkan integriti, menegakkan tadbir urus dan memupuk ketelusan.

"Arahan ini mencerminkan komitmen negara kita untuk menggalakkan tingkah laku beretika, memastikan akauntabiliti serta membasmi rasuah selaras hasrat menjadikan Malaysia terkenal dengan Integriti dan bukan rasuah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Integriti PROLINTAS 2023 serta perasmian Buku Panduan Tatacara Pelaksanaan Fungsi Teras SPRM yang direka khusus sebagai panduan IGU di Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK) diadakan di M Resort Hotel, di sini hari ini.

Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan kepada PROLINTAS atas usaha dan inisiatif yang berterusan dalam membendung gejala rasuah serta penyalahgunaan kuasa yang semakin berleluasa di negara ini.

Katanya, usaha membanteras rasuah adalah usaha kolektif dan SPRM mengalu-ngalukan mana-mana pihak untuk turut bersama-sama membanteras jenayah rasuah ini kerana setiap peringkat dalam mana-mana organisasi bertanggungjwab untuk memartabatkan budaya kerja yang beretika serta bebas daripada penyalahgunaan kuasa.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah kumpulan Prolintas, Dato’ Idris Kechot; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Norazlan Mohd Razali; Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA) SPRM, Dato’ Norazmi Karim, Pengarah SPRM Selangor, Dato' Haji Alias Salim dan Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin.


Hit : 1287