Berita Terkini

IBR: Majlis Menandatangani IBR dan Pelancaran Pelan Integriti Tabung Haji 2023-2027

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – “Setiap organisasi perlu menjadikan isu rasuah dan ketirisan dana sebagai fokus penting jika mahukan pendapatan negara meningkat”.

 

Pesanan ini disampaikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato' Sri Haji Azam Baki dalam ucapannya pada Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah dan Pelancaran Pelan Integriti Tabung Haji 2023-2027 yang diadakan di Bangunan Lembaga Tabung Haji (TH).

 

Beliau berkata, bagi mengelakkan ketirisan dana yang memberi kesan kepada negara, pengukuhan integriti dalam kalangan warga TH perlu dilaksanakan.

 

"Kerana ini, pentingnya pengukuhan integriti dalam kalangan warga kerja TH bagi mengelakkan ketirisan dana yang sekaligus akan memberi impak kepada negara," katanya.


Tan Sri Dato' Sri Azam turut menekankan lafaz IBR yang dilaksanakan oleh warga TH bukanlah bersifat one-off atau secara kosmetik, sebaliknya perlu disusuli dengan pelbagai tindakan bagi memperkukuhkan integriti dan sifat amanah dalam tugas seharian.

 

Beliau juga turut menyeru agar TH memperkasakan Unit Integriti di organisasi itu bagi memastikan ketirisan dana kerajaan dapat dielakkan secara total.

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Syed Hamadah Syed Othman telah mengetuai sesi lafaz IBR yang turut disertai kira-kira 200 warganya dan disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM.

 

Turut hadir Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Azman Mokhtar dan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, KPKPj Nazli Rasyid Sulong.


Hit : 1749