Berita Terkini

Proses Kesan Saksi SPRM Beri Keadilan Semua Pihak


Mohd Anuar bin Ismail

Timbalan Pengarah Kanan Siasatan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)


Kebelakangan ini timbul beberapa isu apabila individu yang dilihat enggan memberi kerjasama dalam siasatan, malah menggambarkan agensi penguat kuasa sebagai agensi yang mempunyai tujuan negatif terhadap penama berkaitan.


Harus ditekankan agensi penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memainkan peranan penting memberi khidmat kepada masyarakat dalam memelihara keamanan serta keselamatan awam dengan mengesan, mencegah dan menyelesaikan jenayah rasuah.


Selaras dengan kewujudannya sebagai entiti tunggal pencegahan rasuah di Malaysia, bidang kuasa perundangan SPRM di bawah Akta SPRM 2009 adalah khusus untuk menyiasat dan mencegah sebarang bentuk perlakuan rasuah serta salah guna kuasa.


Punca kuasa SPRM daripada Akta SPRM 2009 menggariskan dua matlamat utama:


1. Menggalakkan integriti dan kebertanggungjawaban pentadbiran sektor awam dan swasta dengan menubuhkan suatu badan pencegahan rasuah yang bebas dan bertanggungjawab, dan


2. Mendidik pihak berkuasa awam, pegawai awam dan orang awam tentang rasuah dan kesan buruknya terhadap pentadbiran sektor awam dan swasta dan komuniti.

Dalam melaksanakan tanggungjawab ini, bertemu saksi, sesi temubual dan menyoal siasat ialah teras kepada proses siasatan dan pengumpulan risikan yang perlu dijalankan dengan sempurna.


Objektifnya ialah untuk mendapatkan maklumat yang tepat, serta bukti-bukti yang kukuh dan boleh dipercayai untuk melengkapkan siasatan. Oleh sebab itu, setiap tindakan yang dilaksanakan termasuk memanggil individu untuk mendapatkan maklumat perlu mengikut proses tatacara yang berlandaskan undang-undang dan bertujuan untuk memberi keadilan kepada semua pihak.


Malah menjadi tanggungjawab penyiasat, bagi memastikan bahawa setiap orang yang disiasat dilayan dengan bermaruah dan menghormati norma hak asasi manusia, kerana ia akan menghasil sesuatu yang sah mengikut undang-undang.


Namun malangnya, kebelakangan ini timbul pula isu apabila hal penyerahan notis rasmi untuk memanggil individu tampil membantu siasatan dijadikan sebagai isu yang sangat rumit bagi mereka. Bahkan notis kesan saksi untuk membantu siasatan SPRM dilihat sebagai mempunyai agenda lain.


Dalam hal berkenaan, masyarakat perlu memahami secara asas hak dan kuasa SPRM dalam melaksanakan tanggungjawabnya.


Berdasarkan akta, SPRM sememangnya mempunyai hak dan kuasa untuk memerintah mana-mana orang bagi tujuan siasatan sebagaimana yang dinyatakan pada Seksyen 30


(1) (a) Akta SPRM 2009.


Seksyen tersebut berbunyi:


30. (1) Seseorang pegawai Suruhanjaya yang menyiasat sesuatu kesalahan di bawah Akta ini boleh


(a) memerintahkan mana-mana orang supaya hadir di hadapannya bagi maksud diperiksa secara lisan berhubungan dengan apa-apa perkara yang mungkin dapat, pada pendapatnya, membantu dalam penyiasatan kesalahan itu;


Malah mana-mana individu tidak boleh menganggap perkara membantu siasatan ini sebagai sesuatu yang remeh dengan memberi pelbagai alasan yang tidak munasabah.


Faktanya, kegagalan mematuhi perintah ini boleh dikategorikan sebagai menghalang penyiasatan mengikut Seksyen 48 (c) dan (d) Akta SPRM 2009 yang menjelaskan seperti berikut:


Mana-mana orang yang -


(c) tidak mematuhi apa-apa permintaan, notis, perintah atau kehendak yang sah seseorang pegawai Suruhanjaya dalam pelaksanaan kewajipannya di bawah Akta ini;


(d) enggan atau abai untuk memberi seorang pegawai Suruhanjaya apa-apa maklumat yang semunasabahnya dikehendaki daripadanya dan yang dia berkuasa untuk memberikannya.


Sebagai pelaku mereka boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-dua sekali.


Di samping itu, situasi memberi pelbagai alasan ini boleh menimbulkan persepsi adakah mereka ini sebenarnya memang terlibat dengan kegiatan yang menyalahi undang- undang sehingga sanggup berdolak-dalih dengan merumitkan perkara-perkara tertentu?


Pokoknya, jika kita tidak melakukan sebarang kesalahan maka tidak seharusnya kita begitu mudah untuk memberi alasan untuk melambatkan proses siasatan dengan melakukan hal sedemikian.


Bak kata pepatah lama, ‘berani kerana benar, takut kerana salah’. Ia memang tepat bagi menggambarkan sesetengah kes yang berlaku.


Hit : 1853