Berita Terkini

Sasaran CPI Tangga 25 Paparkan Komitmen Perdana Menteri Banteras Rasuah

Noor Mohamad Bin Shakil Hameed

Penganalisis Gejala Rasuah

Universiti Putra Malaysia

 

Antara perkara penting yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat ialah matlamat untuk berada pada tangga 25 teratas dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

 

Malaysia kini berada di kedudukan ke-61 dalam CPI 2022 daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga ke-62 pada 2021. Skor Malaysia jatuh satu mata iaitu daripada 48 mata pada 2021 kepada 47 mata pada 2022.

 

Walaupun indeks ini dilihat bukan pengukur sebenar situasi rasuah negara namun kita tidak boleh pandang ringan kerana ianya membabitkan imej dan kedudukan negara di mata dunia, justeru penetapan sasaran dan matlamat untuk berada pada tangga 25 teratas dunia dalam tempoh 10 tahun akan datang adalah dilihat sangat wajar, perlu dan signifikan.

 

Ironinya, penetapan matlamat ini membuktikan komitmen dan iltizam pihak kerajaan khususnya Perdana Menteri sendiri yang dilihat sangat serius dan agresif mahu membanteras rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan yang semakin membimbangkan di negara kita.

 

Tangkapan demi tangkapan serta pendakwaan yang dibuat oleh pihak berkuasa membuktikan rasuah semakin mengakar dalam kehidupan seharian sebahagian anggota masyarakat kita.

 

Terbaru, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mendedahkan pembabitan pegawai awam gred 54 ke atas dalam gejala rasuah menjadi trend yang amat membimbangkan, berbanding 10 tahun lalu.

 

Menurut Azam, trend ini memperlihatkan satu penanda aras tidak sihat dan pembabitan pegawai kerajaan gred 54 ke atas menunjukkan peningkatan sejak 2018 seolah-olah menjadi perkara biasa.

 

Jadi adalah bertepatan pihak kerajaan meletakkan satu sasaran yang jelas seperti ini supaya boleh memberi perhatian yang serius kepada usaha pembanterasan dan pencegahan rasuah secara bersepadu membabitkan semua pihak yang terlibat, baik sektor awam, swasta mahupun anggota masyarakat mencakupi pihak yang memberi dan menerima rasuah.

 

Jujurnya bukan mudah untuk membanteras rasuah kerana sudah menjadi satu kebiasaan dan amalan lazim dalam kalangan sebahagian anggota masyarakat kita. Justeru usaha membanteras dan pencegahan perlu membabitkan semua pihak bermula dari ahli politik, agensi kerajaan, agensi swasta, agensi penguat kuasa serta individu anggota masyarakat.

 

Komitmen dan kesungguhan Perdana Menteri yang mahu membanteras rasuah ini perlu digunakan sepenuhnya oleh semua pihak untuk bersama-sama mendukung aspirasi yang sama, iaitu membanteras rasuah melalui usaha dan inisiatif yang sewajarnya. Jangan biarkan Anwar keseorangan dalam melaksanakan agenda penting ini.

 

Misalnya, semua agensi kerajaan dan swasta perlu melipatgandakan usaha untuk menyedarkan anggota organisasi masing-masing agar menjauhi perbuatan tidak bermoral tersebut. Program kesedaran seperti kempen dan ceramah wajar diadakan secara kerap dan berkala selain terus memperbaharui ikrar dan janji untuk lebih bertanggungjawab dan amanah melalui Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

 

Para majikan juga perlu sentiasa menilai dan mengemaskini proses serta prosedur kerja di organisasi masing-masing agar dapat segera kenalpasti dan menutup segala ruang dan peluang yang ada untuk anggota organisasi terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan jawatan atau kuasa sehingga terbabit dalam najis rasuah. Amalan tadbir urus dan tata kelola yang baik mesti menjadi tanggungjawab utama setiap majikan.

 

Selain itu, semua pihak juga perlu menyokong dan terus membantu pihak berkuasa seperti SPRM melaksanakan tugas mereka secara berkesan dengan tidak menyembunyikan sebarang perbuatan salah laku yang diketahui. Sebagai warganegara yang bertanggungjawab kita perlu menyalurkan maklumat tentang rasuah yang berlaku di sekitar kita kepada SPRM untuk diambil tindakan dengan segera.

 

Perbuatan kita yang suka berdiam diri dan tidak ambil peduli dengan apa yang berlaku di sekitar adalah suatu sikap yang tidak wajar, tidak bertanggungjawab dan boleh dianggap sebagai bersubahat.

 

Di samping itu, sebagai anggota masyarakat elaklah terlibat dalam perbuatan menyogok atau memberi rasuah. Tindakan kita yang suka menyogok untuk mendapatkan sesuatu perkhidmatan tanpa mengikut prosedur yang betul merosakkan keseluruhan ekosistem penyampaian perkhidmatan di negara kita. Jadi setiap seorang daripada kita perlu menjaga integriti diri masing-masing supaya dapat menyumbang ke arah pembanterasan amalan rasuah di negara kita.

 

Tuntasnya, tahniah kepada Anwar dan kerajaan kerana telah menzahirkan komitmen untuk membanteras rasuah melalui penetapan sasaran pencapaian untuk berada pada tangga 25 teratas dunia dalam CPI. Kini terserah kepada kita sebagai warganegara bagaimana boleh memainkan peranan agar dapat berganding bahu dengan kerajaan untuk membanteras rasuah di negara tercinta ini.


Penafian : Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pendirian rasmi SPRM.   

Hit : 1536