Berita Terkini

OP Phantom

Siasatan SPRM

KES OP PHANTOM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melancarkan Op Phantom susulan aduan melibatkan Eksekutif Pembinaan Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB), Mohd Amal M.Razalan yang disyaki meminta dan menerima rasuah daripada kontraktor-kontraktor berkaitan projek di syarikat tersebut antara tahun 2017 sehingga tahun 2020, dengan nilai keseluruhan projek berjumlah RM 2.33 bilion.

Hasil siasatan mendapati modus operandi suspek ialah berbincang terlebih dahulu bersama kontraktor berkaitan permohonan kerja-kerja di pelantar (WOR).

Suspek yang berperanan mencadangkan pesanan pembelian (purchase order) hanya akan mengeluarkan PO tersebut sekiranya kontraktor bersetuju melantik syarikat suspek sebagai sub-kontraktor. Seterusnya, bayaran rasuah akan disalurkan kepada syarikat suspek. Hasil-hasil rasuah pula akan digunakan untuk membeli pelbagai kenderaan mewah, rumah dan lot tanah.

Sehubungan itu, SPRM telah memulakan siasatan pada April 2022 dengan membuka enam kertas siasatan yang tertumpu kepada Seksyen 16 (a) (A) ASPRM 2009 dan Seksyen 4 (1)(b) AMLATFPUAA 2001. Penggeledahan turut dilakukan terhadap lima syarikat Kontraktor PCSB dan tiga buah sub-kontraktor.

Pertuduhan dan Perbicaraan

4 Januari 2023 – Tertuduh, Mohd. Amal M. Razalan, 36, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 37 pertuduhan menerima rasuah melibatkan wang RM6.1 juta dan enam pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah hampir RM940,000.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara 21 Disember 2016 dan 1 Ogos 2019 di Maybank Berhad Cawangan KLCC, Menara Berkembar Petronas, Jalan Ampang di sini.

Menurut pertuduhan, Mohd. Amal didakwa menerima suapan daripada dua individu berbeza (pengarah syarikat dan pengurus projek) melalui cek yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank Berhad milik sebuah syarikat lain.

Tertuduh didakwa menerima suapan hasil persubahatan dengan seorang individu sebagai upah membantu sebuah syarikat kejuruteraan mendapatkan kerja-kerja penyelenggaraan bagi PCSB.

Mohd. Amal didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dibaca bersama Seksyen 28 (1) (c) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta itu.

Mohd. Amal turut didakwa atas enam pertuduhan pengubahan wang haram iaitu lima menerima dan satu menggunakan wang berjumlah RM939,334.10.

Bagi lima pertuduhan AMLA, dia didakwa menerima RM798,985.49 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, melalui empat akaun bank milik seorang pengarah syarikat.

Kesalahan didakwa dilakukan di Maybank Berhad Petronas Twin Tower, Jalan Ampang dan Dataran Maybank di sini serta Public Bank Berhad cawangan Mont Kiara dan Jalan Genting Kelang, di sini antara 13 Julai 2017 dan 15 Mac 2022.

Bagi satu lagi pertuduhan AMLA, dia didakwa menggunakan wang berjumlah RM140,348.61 melalui dua akaun CIMB miliknya di CIMB Bank Berhad Jalan Pantai Baru, di sini pada 22 Mac 2021 dan 18 Mac 2022.

Keenam-enam pertuduhan itu dibuat mengikut subseksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001, yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

11 Januari 2023 – Tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 41 pertuduhan rasuah dan lima pengubahan wang haram berjumlah RM9.65 juta berhubung kerja-kerja penyelenggaraan.

Bagi pertuduhan pertama hingga ke-41, tertuduh didakwa menerima kesemua suapan tersebut berjumlah RM9.4 juta daripada empat individu iaitu Ketua Pegawai Operasi Synergy Spectular Sdn Bhd, Mohd Hakimin Mohd Zubir; Pengarah Faltech Engineering Sdn Bhd, Faisol Mustapha Idris; Pengarah Majestika Sdn Bhd, Mustaza Zawawi dan Pengurus Projek SAP Sdn Bhd, Robert Khoo melalui cek serta pindahan dalam talian dari akaun Maybank Berhad milik beberapa syarikat menerusi MGV Energy Sdn Bhd.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu dengan persubahatan bersama pengarah syarikat MGV Energy, Muhammad Nazreen Abd Hamid sebagai upah tertuduh melakukan apa-apa transaksi yang berkaitan dengan tugasnya iaitu memperakukan kira-kira lebih 50 'Job Completion Ticket' kepada PCSB serta membantu Faltech Engineering mendapatkan kerja-kerja 'Provision Of Civil & Structural Maintenance Services For PCSB'.

4 Mac 2023 – Pengurusan kes akhir (penyerahan representasi akhir)

Tarikh perbicaraan di Mahkamah Kuala Lumpur bagi pertuduhan di bawah Akta ASPRM 2009 ditetapkan pada April 2024 (17 dan 18), Mei 2024 (27, 28, 29 dan 30), dan  Jun 2024 (10, 11, 12, 13, 14, 17, 18, 19, 20 dan 21)

23 Ogos 2023 – Pengurusan kes akhir (penyerahan representasi akhir)

Tarikh perbicaraan di Mahkamah Shah Alam bagi pertuduhan di bawah AMLATFPUAA 2001 ditetapkan pada Mac 2024 (13, 15, 18, 19, 27, 28, 29), April 2024 (1, 2, 17, 18, 19, 24, 25) dan Mei (2, 3, 13, 14, 15, 16, 17, 21, 22, 23).

8 Nov. 2023  – Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Datuk Anita Harun menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM177,000 atas dua pertuduhan menerima suapan berhubung kerja-kerja penyelenggaraan, terhadap Mohd Amal selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah pada prosiding kali ini yang ditetapkan untuk perbicaraan.

Mohd Amal mengaku bersalah menerima suapan berjumlah RM35,217.50 daripada seorang pengarah syarikat melalui dua keping cek sebuah bank hasil bersubahat dengan seorang pengarah syarikat lain sebagai upah membantu mendapatkan kerja-kerja penyelenggaraan struktur kepada PCSB di sebuah cawangan bank di Bandar Puteri, Puchong pada 25 Oktober 2019 dan 20 Januari 2020.

4 Dis. 2023   – Mohd Amal dijatuhi hukuman penjara sehari dan didenda berjumlah RM123,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan menerima suapan wang bernilai lebih RM21,000 berhubung kerja-kerja penyelenggaraan untuk syarikat berkenaan.

Hakim Rozina Ayob menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Amal selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah pada prosiding sebutan kes pada tarikh ini.

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,360 atau penjara 30 hari sekiranya gagal membayar denda.

Sementara bagi pertuduhan kedua, mahkamah menetapkan penjara sehari dan denda RM112,640 atau penjara 60 hari jika gagal membayar denda, selain memerintahkan kedua-dua hukuman penjara berjalan serentak bermula tarikh hukuman dijatuhkan.

Sementara itu, 41 lagi pertuduhan rasuah termasuk enam pengubahan wang haram yang dihadapi Mohd Amal sebelum ini diambil kira untuk dipertimbangkan (TIC) di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.


Maklumat ini telah dikemaskinikan pada 15 Mac, 2024


Status Kes

Tertuduh telah dijatuhi hukuman oleh mahkamah pada 8 November2023 dan 4 Disember 2023.


Laporan Media

Kenyataan Media
Hit : 4302