Berita Terkini

SPRM Perluas Dan Tambah Baik Medium Komunikasi Sampaikan Mesej Antirasuah

Putrajaya, 5 Julai - Selaras usaha memperluas medium komunikasi dalam menyampaikan mesej antirasuah kepada masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menganjurkan Program Pemantapan Rakan Strategik Media SPRM bertempat di Hotel Everly, di sini hari ini.

Program yang dirasmikan penutupannya oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato' Sri Haji Azam Baki ini telah disertai kira-kira 35 wakil media tempatan.

Tan Sri Dato’ Sri Azam dalam ucapan berkata, bagi membolehkan matlamat pencegahan rasuah dapat disampaikan ke segenap lapisan masyarakat, SPRM juga perlu mengaplikasikan penggunaan teknologi terkini mengikut peredaran semasa iaitu menggunakan platform media sosial.

"Kita perlu mengamalkan konsep muda mengikut zaman, jika ketika ini zaman media sosial, kita tidak boleh jadi old school tetapi perlu 15 tahun ke belakang menjadi muda.  

"Kita perlu berubah dan kita perlu bersatu dengan generasi baharu dalam menarik minat mereka supaya mesej-mesej antirasuah ini dapat disampaikan dengan efektif kepada mereka," katanya.

Beliau berkata, golongan muda tidak berminat membaca artikel dan berita, mereka lebih cenderung dengan melihat infografik, video-video interaktif dan parodi. Justeru, SPRM akan bergerak seiring dengan pengamal-pengamal media baharu dalam mencapai matlamat menjadikan Malaysia negara yang harmoni dan bebas rasuah.

Dalam program ini, turut diadakan sesi perkongsian ilmu oleh Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, TPj Saiful Ezral Ariffin yang menyentuh mengenai fungsi serta bidang kuasa SPRM dalam mengendalikan kes berprofil tinggi dan sesi perkongsian maklumat membabitkan aspek pencegahan rasuah oleh Timbalan Pengarah Bahagian Pemeriksaan Dan Perundingan (BPMP) SPRM, KPKPj Sudirman Aban. 

Selain itu, Pengerusi Panel Penilaian Operasi (PPO) SPRM, Dato’ Ahmad Rosli Mohd Sham telah berkongsi maklumat mengenai mekanisme “check and balance” membabitkan peranan serta fungsi Panel Pemantau Bebas. 

Program diakhiri dengan sesi percambahan ilmu oleh Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Puan Farah Naz Karim serta pempengaruh media sosial, Encik Iqbal Fakhti menerusi forum bertajuk media konvensional dan media influencer yang menampilkan Ketua Cawangan Kerajaan, Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM, PKPj Samsul Salip selaku moderator.

Dalam program ini juga, Tan Sri Dato' Sri Azam turut melancarkan akaun aplikasi TikTok SPRM dan berharap agar pendekatan penyampaian mesej antirasuah ini akan lebih menyeluruh ke segenap lapisan masyarakat.

Turut hadir Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, PKPj Kamarudin M Ripin.


Hit : 1076