Berita Menarik

IBR Bukan Program Kosmetik, Perlu Dihayati Dan Dilaksanakan

Kuala Lumpur: Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bukan program 'kosmetik' sebaliknya ia satu janji yang perlu disusuli dengan pelbagai tindakan dalam meningkatkan integriti serta membendung gejala rasuah.

Pesanan ini disampaikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dato' Sri Haji Azam Baki dalam ucapannya ketika perasmian Hari Integriti 2023 World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) bertemakan 'Pilih Integriti Pilih Maruah' yang diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, WTCKL di sini hari ini.

Tan Sri Dato' Sri Azam berkata, barisan pengurusan tertinggi perlu melaksanakan pelbagai tindakan selaras lafaz IBR yang telah sama-sama dijanjikan.

"Lafaz IBR ini bukan bersifat one-off atau kosmetik semata-mata,  tetapi ia perlu disusuli dengan pelbagai tindakan dalam usaha meningkatkan integriti.

"Saya tekankan perkara ini kerana terdapat beberapa kes yang mana, janji-janji dalam IBR telah dimungkiri apabila ada individu terbabit ditangkap SPRM kerana melakukan rasuah," katanya.

Beliau berkata, perkara yang berlaku ini sesuatu yang memalukan seolah-olah IBR hanya ‘wayang’ untuk pertunjukan sahaja di mana janji untuk mencegah rasuah hanya di mulut tetapi tidak sampai ke hati sanubari.

Dalam ucapannya itu juga, Ketua Pesuruhjaya SPRM turut berkongsi mengenai Sekyen 17A Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan bahawa organisasi komersial boleh didakwa dan dihukum sekiranya tidak melaksanakan usaha-usaha yang mencukupi bagi memastikan rasuah tidak berlaku dalam urus niaga perniagaan.

Dalam program yang sama itu juga, turut diadakan majlis lafaz dan menandatangani IBR diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WTCKL, En. Mohd Yusri Mohd Junos bersama-sama kira-kira 300 warganya.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Dato' Sri Dr. Haji Irmohizam Ibrahim; Pengerusi NIOSH Certification Sdn Bhd (NIOSH), Tuan Haji Ayob Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif NIOSH, En. Syamsul Zahrin Zainudin dan Ketua Pegawai Operasi WTCKL, En. Fauzy Wahab.


Hit : 1198