Berita Menarik

SPRM Dan UNODC Anjur Bengkel, Beri Pendedahan Mengenai Liabiliti Korporat

Putrajaya, 20 Jun - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama United Nations Office on Drugs and Crime (UNDOC) telah menganjurkan Bengkel 'Liability of Legal Persons for Corruption Offences' (LLP) yang memberi pendedahan mengenai peruntukan liabiliti korporat bagi kesalahan rasuah membabitkan organisasi komersil.

Bengkel selama dua hari yang bermula hari ini dirasmikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato' Sri Haji Azam Baki, diadakan secara bersemuka di Hotel Pulse Grande di sini dan secara dalam talian, menghimpunkan wakil agensi penguat kuasa dari dalam serta luar negara. 

Tan Sri Dato' Sri Haji Azam Baki dalam ucapannya berkata, setiap peringkat dalam organisasi sama ada membabitkan lembaga pengarah, pengurusan tertinggi sehinggalah di peringkat kumpulan tenaga kerja memainkan peranan penting bagi mengekalkan serta memperkukuhkan langkah pencegahan rasuah dari semasa ke semasa.

"Bagi memastikan kebertanggungjawaban organisasi komersial dalam jenayah rasuah, Seksyen 17A Akta SPRM 2009 telah dikuatkuasakan pada 1 Jun 2020 yang menyentuh kepada 'Liabiliti Korporat' atau tanggungjawab korporat.

"Setiap pengarah, pengawal selia, pegawai atau rakan kongsi selain individu terbabit dalam pengurusan hal ehwal organisasi adalah bertanggungjawab terhadap rasuah yang berlaku melainkan mereka dapat membuktikan bahawa kesalahan dilakukan tanpa persetujuan atau mereka tidak bersekongkol dengan pelaku, atau telah melakukan usaha wajar untuk mencegahnya," katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa kajian mengenai Deferred Prosecution Agreement (DPA) sedang dilaksanakan untuk melihat kesesuaian dan kebolehlaksanaannya dalam sistem perundangan negara ini terutama bagi kes liabiliti korporat melibatkan jenayah rasuah.

Seramai 70 wakil agensi penguat kuasa dalam negara dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Sekuriti (SC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), Jabatan Kehakiman, Jabatan Peguam Negara dan Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC) telah menyertai bengkel ini secara bersemuka.

Selain itu ia turut disertai wakil agensi penguat kuasa daripada Brunei, Indonesia dan Kemboja secara dalam talian.

Turut hadir, Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) SPRM, Datuk Haji Idris Zaharudin; Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan (BDPP) SPRM, Dato' Mohd Hafaz Nazar; Ketua Program UNODC, Mrs Asma Sainkoudje dan Tenaga Pakar UNODC, Mr. Dmytro Kotlyar.

Hit : 913