Berita Terkini

SPRM Tak Pilih Kasih, Bukan Alat Kerajaan Balas Dendam Politik

Jais Abd Karim
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sering didakwa bersikap pilih kasih apabila melakukan penyiasatan serta pendakwaan terhadap kes berkaitan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Perubahan parti membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14(PRU14) dan PRU15 menguatkan lagi persepsi negatif SPRM dijadikan alat membalas dendam politik terhadap lawan.

Hakikatnya, kebanyakan rakyat tidak tahu atau sedar SPRM tidak mempunyai kuasa pendakwaan. Artikel 143(3) Perlembagaan dengan jelas memberikan kuasa tunggal kepada Jabatan Peguam Negara untuk melaksanakan tugas pendakwaan. Kuasa SPRM hanya terhad kepada hal siasatan

Justeru, tanggapan umum mengenai SPRM mengamalkan sikap pilih kasih dan alat melepas dendam politik dalam penyiasatan kes rasuah apabila kerajaan bertukar adalah tidak benar.

Dalam situasi ini, penting untuk SPRM menyambung dan menyelesaikan penyiasatan kes dan mencadangkan pendakwaan jika perlu. Tanggapan umum akan lebih positif jika proses ini dijalankan dengan telus dan berlandaskan bukti.

Terdapat pendedahan kes baharu ketika pemerintahan kerajaan semasa mempunyai bukti dan alasan kukuh untuk menjalankan penyiasatan serta pendakwaan di mahkamah.

Jika terdapat bukti meyakinkan dan merit jelas untuk mengaitkan individu politik dalam tindakan rasuah, umum pasti mengharapkan tindakan diambil tanpa mengira pertalian politik individu terbabit.

Bagaimanapun, tanggapan umum mengenai pilih kasih dan dendam politik pasti akan timbul sekiranya kerajaan dengan sewenang-wenangnya cuba menyembunyikan atau menenggelamkan pendedahan, penyiasatan dan pendakwaan kes rasuah membabitkan ahli politik daripada parti komponen kerajaan.

Timbulkan keraguan

Tindakan seperti ini menimbulkan keraguan dan krisis kepercayaan terhadap keberkesanan usaha SPRM dan kerajaan untuk membanteras rasuah.

Tindakan melambat-lambatkan atau menangguhkan pendedahan, penyiasatan dan pendakwaan kes rasuah membabitkan ahli politik, ahli Parlimen atau anggota Kabinet adalah tidak wajar selain mengukuhkan persepsi umum ia tindakan pilih kasih.

Bagaimanapun, SPRM tidak dapat melakukan penyiasatan tanpa maklumat dan aduan berkualiti. Oleh itu, SPRM memerlukan maklumat terperinci untuk membolehkan sesuatu kes disiasat boleh didakwa secara berkesan.

Mungkin masih banyak kurang faham SPRM adalah entiti bebas dan berasingan daripada pengaruh politik atau pihak luar. Perkara perlu diperbaiki segera adalah berkenaan bajet tahunan dan kuasa membuat keputusan sendiri berkenaan perjawatan masih tergantung kepada agensi lain.

Akta SPRM 2009 sendiri perlu dibuat pembaharuan bagi memastikan SPRM beroperasi dalam rangka undang-undang lebih kukuh menyediakan perlindungan jelas sebagai bukti tiada campur tangan politik.

Undang-undang itu perlu melindungi kebebasan SPRM dan menyediakan mekanisme kawalan dan imbangan mencukupi secara lebih jelas mengikut peredaran zaman

Pelantikan dan tempoh jawatan pegawai SPRM perlu melalui proses telus dan berdasarkan kebolehan, memastikan mereka berkelayakan dan tidak berat sebelah.

Tempoh jawatan mereka perlu dilindungi untuk mengelakkan pemecatan sewenang-wenang atau menjadi mangsa tekanan politik.

Sementara itu, masyarakat menganggap SPRM mesti memantau dan mengaudit pelaksanaan kerja penjawat awam dan apabila menemui sebarang masalah maka mereka perlu membuat siasatan.

Realitinya, SPRM hanya bertindak menyiasat berdasarkan maklumat dan aduan berkualiti sahaja. Tanpa aduan dan maklumat tepat, sukar untuk membawa kes itu bagi tujuan pendakwaan.

Hit : 1427