Berita Terkini

SPRM Anjur Simposium Bersama 80 Pemain Industri Maritim

CYBERJAYA, 15 Jun - SPRM menganjurkan Simposium Antirasuah Bersama Pemilik-Pemilik Kapal Malaysia yang telah dihadiri seramai 80 wakil pemain industri maritim termasuk pemilik syarikat perkapalan yang beroperasi di negara ini.

Simposium anjuran bersama Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), Persatuan Pemilik-Pemilik Kapal Malaysia (MASA) dan MISC Berhad ini telah dihadiri Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali dalam majlis diadakan di Wisma MISC.

Datuk Seri Norazlan dalam ucapan perasmian penutupan simposium ini berkata, industri maritim yang merangkumi aktiviti pelabuhan, perkapalan dan pengangkutan marin amat penting kepada negara berikutan 90 peratus daripada eksport Malaysia adalah melalui laut.

Katanya, atas faktor itu, amat penting bagi semua pemain industri maritim untuk menjaga reputasi organisasi mereka sendiri serta negara daripada jenayah rasuah yang sememangnya memberi kesan kepada ekonomi.

"Walaupun bilangan kes rasuah yang berlaku dalam industri ini masih kecil dan melibatkan kakitangan peringkat rendah sebagaimana dikesan oleh Maritim Anti-Corruption Network (MACN) Denmark, namun ia tidak boleh dijadikan justifikasi perkara ini tidak serius atau tidak memerlukan perhatian," katanya.

Beliau berkata, setiap pemain industri maritim ini termasuk pemilik kapal, pihak berkuasa pelabuhan, pihak berkuasa kerajaan selain vendor atau ejen pihak ketiga perlu memainkan peranan untuk menghentikan sebarang jenayah rasuah seterusnya menjadikan kawasan pelabuhan bebas daripada rasuah.

Katanya, penganjuran simposium ini diharap menjadi pemangkin kepada perkongsian ilmu dan pertukaran idea dalam kalangan peserta.

Sementara itu, Pengerusi MASA, Mohamed Safwan Othman berkata, simposium ini  membolehkan pemain industri perkapalan mendapat informasi mengenai rasuah dalam industri berkenaan yang boleh menjejaskan ekonomi negara dan industri itu sendiri.

"Banyak kes ketirisan dan rasuah berlaku dalam industri perkapalan negara, namun tidak dilaporkan. Menerusi simposium ini, peserta diberi pendedahan mengenai bahaya rasuah termasuk isu ketirisan dan integriti yang berlaku dalam industri maritim.

"Jadi, simposium ini satu inisiatif yang baik yang mampu meningkatkan kesedaran kepada pemain industri maritim ini dalam sama-sama mengekang jenayah rasuah dan melaporkan kepada SPRM jika rasuah berlaku," katanya.

Turut hadir, Setiausaha Bahagian (Maritim) MOT, Muhamad Fade’li Abdul Shukor; Pengurus Besar Pihak Berkuasa Pelabuhan Klang, Kapten K. Subramaniam dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan MISC, Kapten Rajalingam Subramanian.


Hit : 1567