Berita IBR

IBR: Program Kesedaran Anti Rasuah SPRM Negeri Sembilan Bersama Cawangan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya

PORT DICKSON, 14 Jun  - SPRM Negeri Sembilan dengan kerjasama Cawangan Kejuruteraan Cerun, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengadakan Program Kesedaran Anti Rasuah di Institut Latihan Fama, Port Dickson.

Seramai 60 orang warga kerja terdiri daripada Jurutera Awam dan kakitangan teknikal cawangan berkenaan telah hadir menjayakan program ini. Program ini diadakan bagi mencapai objektif memupuk nilai anti rasuah dan memperkukuhkan kefahaman tentang peranan dan tanggungjawab agensi dalam membasmi rasuah.

Program dimulakan dengan ceramah "Kesalahan Rasuah & Isu Perolehan" yang disampaikan oleh PPs Riduan bin Kadri, Unit Pendidikan Masyarakat, SPRM Negeri Sembilan.

Seterusnya, Ir Kaniah binti Ambak, Jurutera Awam Penguasa Kanan Cawangan Kejuruteraan Cerun dalam ucapannya turut menekankan seluruh warga kerja mengenai bahaya rasuah dan menyatakan ketegasan tidak akan berkompromi sekiranya terdapat kakitangan yang terlibat.

Program diteruskan dengan Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) diketuai Encik Wan Muhammad Hafiz bin Zakaria, Jurutera Awam Cawangan Kejuruteraan Cerun dan disaksikan oleh PPj Yasmin Azura binti Hj Yahya, Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Negeri Sembilan.


Hit : 1130