Berita Menarik

LPK Terima Pensijilan ABMS, Bukti Usaha Perangi Rasuah

Shah Alam, 8 Jun – Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK), agensi di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia berjaya dianugerahkan pensijilan MS ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) berkuat kuasa 12 Mei lalu.

Majlis penyerahan sijil oleh SIRIM QAS International Sdn Bhd kepada LPK ini telah disaksikan oleh Menteri Pengangkutan, YB Loke Siew Fook dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Indera Junipah Wandi dalam Majlis Pensijilan ABMS yang diadakan di Double Tree by Hilton, di sini hari ini.

Dato’ Indera Junipah Wandi dalam ucapannya berkata, SPRM sebagai 'custodian' ABMS 37001 di Malaysia menghargai usaha dan kesungguhan LPK sebagai peneraju yang memerangi rasuah dalam industri maritim.

Katanya, usaha ini harus dipuji dan dicontohi oleh organisasi yang belum menerima pensijilan ABMS.

“Sebagai agensi penguat kuasa undang-undang yang diamanahkan untuk menyiasat dan menuduh pengamal rasuah, SPRM telah bekerjasama bersama sektor awam serta swasta dengan mengadakan khidmat nasihat (advocacy) antirasuah bagi memupuk kesedaran mahupun pemahaman dalam memerangi atau mencegah rasuah.

"Kejayaan menangani rasuah dalam organisasi bergantung kepada dua faktor iaitu memupuk integriti dikalangan warga kerja dan komitmen teguh oleh pengurusan tertinggi untuk menghantar mesej jelas kepada seluruh organisasi bahawa tiada toleransi bagi tindakan keji ini,” katanya.

Dalam majlis yang sama, Dato' Indera Junipah turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara LPK dan agensi kerajaan, terminal operator dan pemain industri sebagai inisiatif kerjasama membasmi rasuah dalam industri maritim.

Hit : 1452