Berita Terkini

Kes 1MDB (SRC International)

Siasatan SPRM

Pada 22 dan 24 Mei 2018, bekas Perdana Menteri Najib Razak memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu SRC International Sdn Bhd (SRC International).

Pada 3 Julai 2018, Pasukan Petugas Khas 1MDB menahan bekas Perdana Menteri itu di rumahnya di Langgak Duta, Kuala Lumpur, kira-kira jam 3 petang. Beliau kemudian ditahan di lokap Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

Pendakwaan pertama dilaksanakan pada 4 Julai 2018 apabila Najib dituduh atas kesalahan salah guna kuasa dan penyelewengan.

Najib dan beberapa individu telah didakwa mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan Pecah Amanah (CBT) sepanjang tahun 2018.

Pertuduhan dan Perbicaraan

4 Julai 2018
Najib didakwa buat pertama kali di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan CBT dan satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta. Kes kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

8 Ogos 2018
Najib didakwa di Mahkamah Tinggi atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana sama (RM42 juta daripada SRC International) yang merupakan hasil kegiatan haram.

3 April 2019
Perbicaraan bermula selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan Najib untuk mengisytiharkan tujuh pertuduhan terhadapnya sebagai tidak sempurna.

27 Ogos 2019
Pendakwaan menutup kesnya selepas 58 hari perbicaraan dan mendengar keterangan 57 saksi.

11 November 2019
Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib membela diri terhadap semua tujuh pertuduhan selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan terdapat unsur menggunakan kedudukan, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

3 Disember 2019
Najib memberi keterangan membela diri di Mahkamah Tinggi sebagai saksi pertama pembelaan bagi menjawab pertuduhan terhadapnya.

11 Mac 2020
Selepas 19 saksi memberi keterangan sepanjang 33 hari, pembelaan menutup kesnya.

28 Julai 2020
Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas mendapati beliau bersalah ke atas semua tujuh pertuduhan.

19 Oktober 2020
Najib memfailkan petisyen rayuan yang mengandungi 307 alasan beliau sepatutnya dibebaskan daripada semua pertuduhan.

5 April 2021
Rayuan terhadap sabitan dan hukuman bermula di Mahkamah Rayuan.

18 Mei 2021
Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusannya ke satu tarikh yang ditetapkan kelak selepas selesai mendengar hujah kedua-dua pihak yang berlangsung selama 15 hari.

23 November 2021
Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Disember untuk keputusan rayuan itu. Najib memfailkan permohonan supaya ditangguhkan keputusan rayuannya kerana perlu menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari sehingga 12 Disember setelah kembali dari Singapura dan hanya boleh hadir di mahkamah atau perhimpunan awam mulai 13 Disember.

24 November 2021
Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk menangguhkan tarikh keputusan rayuannya.

2 Disember 2021
Najib memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan supaya membenarkan bukti baharu dikemukakan dalam rayuannya termasuk daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki.

3 Disember 2021
Mahkamah Rayuan menetapkan 7 Disember untuk mendengar permohonan memasukkan bukti baharu.

7 Disember 2021
Mahkamah menolak permohonan Najib untuk menangguhkan prosiding permohonannya dan keputusan rayuan yang ditetapkan pada 8 Disember berikutan peguam pasukan pembelaan menjadi kontak kasual dengan individu yang disahkan positif COVID-19.

8 Disember 2021
Keputusan rayuan Najib dijalankan secara dalam talian kerana Najib dan peguamnya menjalani kuarantin. Pada hari sama, Najib memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

7 Januari 2022
Najib memohon Mahkamah Persekutuan mendengar rayuannya bagi mengemukakan bukti baharu dalam kes SRC terlebih dahulu.

25 Januari 2022
Firma guaman Tetuan Shafee & Co telah menyerahkan surat enam halaman kepada sekretariat Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengenai hasrat Najib untuk melantik Peguam Diraja dari UK bagi membantu bekas Perdana Menteri itu dalam isu rumit dan persoalan undang-undang dalam rayuan kes SRC International beliau di Mahkamah Persekutuan.

2 Mac 2022
Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk mengosongkan tarikh pendengaran rayuan kes itu susulan dakwaan terdapat bukti baharu dalam usaha beliau untuk mengetepikan sabitan dalam kes SRC International yang dijadualkan pada 15 dan 16 Mac.

16 Mac 2022
Najib gagal buat kali kedua untuk mengemukakan bukti baharu dalam rayuan kes SRC.

11 April 2022
Najib melalui Tetuan Shafee & Co memohon lanjutan masa selewat-lewatnya 25 April untuk memfailkan petisyen rayuan.

25 April 2022
Najib memfailkan petisyen rayuan dan mengemukakan 94 alasan mengapa beliau harus dibebaskan daripada pertuduhan dalam kes SRC International.

29 April 2022
Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 10 hari pada Ogos untuk mendengar rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

31 Mei 2022
Jonathan Laidlaw, Peguam Diraja dari United Kingdom memfailkan notis usul saman pemula bagi mewakili Najib dalam rayuan kes SRC International.

7 Jun 2022
Najib memfailkan permohonan untuk mengemukakan bukti tambahan kepada Mahkamah Persekutuan bagi membatalkan keseluruhan perbicaraan kes SRC International.

13 Jun 2022
Pendakwaan memfailkan afidavit bagi membantah permohonan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan kes SRC International.

16 Jun 2022
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menarik diri daripada mendengar permohonan Laidlaw untuk mewakili Najib.

27 Jun 2022
Majlis Peguam memfailkan afidavit membantah permohonan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan akhir SRC International.

21 Julai 2022
Mahkamah Tinggi menolak permohonan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan terakhir kes SRC International.

26 Julai 2022
Najib telah menggugurkan serta-merta perkhidmatan Tetuan Shafee & Co daripada mewakilinya dalam rayuan terakhir kes SRC International di Mahkamah Persekutuan dan pada masa sama, peguam Hisyam Teh Poh Teik dilantik sebagai peguam utama untuk mewakili Najib.

15 Ogos 2022
Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan untuk meminda notis usul Najib bagi mengemukakan bukti baharu dalam rayuan terakhirnya dalam kes SRC International.

16 Ogos 2022
Najib gagal dalam permohonannya untuk mengemukakan bukti baharu pada rayuan terakhir kes SRC International. Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk menangguhkan pendengaran rayuan bagi kes SRC International dan menetapkan 18 Ogos untuk mendengar rayuan itu.

18 Ogos 2022
Mahkamah Persekutuan mula mendengar rayuan terakhir Najib dalam kes SRC International. Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Hisyam untuk menarik diri daripada mewakili Najib Razak dalam rayuan akhir.

19 Ogos 2022
Pihak pendakwaan selesai mengemukakan hujahan dalam rayuan akhir Najib bagi kes penyelewengan dana SRC International di Mahkamah Persekutuan. Najib menamatkan khidmat peguam caranya, Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST), daripada mewakilinya dalam rayuan akhir.

23 Ogos 2022
Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan ke atas Najib berhubung penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd. Beliau tiba di Penjara Kajang pada 6.47 petang bagi menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

2 September 2022
Najib memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

6 September 2022
Najib memfailkan permohonan bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya.

5 Januari 2023
Najib memfailkan petisyen kepada Kumpulan Kerja Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Berkaitan Penahanan Arbitrari (UNWGAD) memohon agar dibebaskan daripada penjara atau kes SRC International Sdn Bhd dibicarakan semula.

19 Januari 2023
Mahkamah Persekutuan mendengar permohonan semakan sabitan dan hukuman bekas Perdana Menteri itu dalam kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta selama enam hari bermula 19 Januari dan 28 Februari.

28 Februari 2023
Pihak-pihak selesai berhujah dan Mahkamah Persekutuan akan menyampaikan keputusan berhubung semakan sebelum 31 Mac.

13 Mac 2023
Mahkamah Persekutuan menetapkan 31 Mac untuk keputusan permohonan Najib bagi menyemak sabitan dan hukumannya dalam kes SRC International.

31 Mac 2023
Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 4-1 hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd. Keputusan majoriti itu dibacakan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat.

Maklumat ini telah dikemaskinikan pada 4 Mei, 2023


Status Kes

Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan beliau didenda RM210 juta dan sedang menjalankan hukuman penjara 12 tahun.


Laporan Media

Kenyataan Media

Hit : 5753