Berita Terkini

Kes 1MDB (RM 2.6 bilion)

Siasatan SPRM

Penyiasatan SPRM bermula pada Julai 2015 rentetan daripada beberapa aduan awam dan liputan media masa dalam negara dan juga antarabangsa, berhubung kemasukan wang dalam jumlah yang besar ke dalam akaun peribadi bekas Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Bin Abdul Razak yang dianggarkan lebih kurang RM2.6 bilion. Wang ini disyaki telah diseleweng oleh beliau dengan bantuan proksinya iaitu Low Taek Jho (Jho Low).

Pada bulan Disember 2015, SPRM telah mengemukakan kertas siasatan dan permohonan Perjanjian Bantuan Negara Asing atau MLA (Mutual Legal Assistance) bagi mendapatkan dokumen-dokumen daripada luar negara melalui Jabatan Peguam Negara tetapi pada 26 Januari 2016, Tan Sri Dato' Sri Haji Mohamed Apandi bin Haji Ali iaitu Peguam Negara ketika itu telah mengarahkan kes ini untuk Tiada Tindakan Lanjut atau NFA (No Further Action).

Pada bulan Mei 2018, SPRM meneruskan siasatan semula ke atas kesemua kemasukan wang ke dalam akaun Dato’ Seri Mohd Najib sejak tahun 2011 hingga 2014. Sebanyak 173 saksi telah diperoleh keterangan mereka manakala sebanyak lima “Red Notice” juga telah dipohon daripada Interpol ke atas saksi-saksi yang gagal dikesan atau telah melarikan diri iaitu terhadap Low Teik Jho (Jho Low), Jasmine Loo Ai Swan, Terence Geh Choh Heng, Tan Kim Loong dan Tan Keng Chee.

Selain itu, sepanjang siasatan yang dijalankan, saksi juga diperolehi daripada 1MDB (1Malaysia Development Berhad), MOF (Ministry of Finance), PMO (Prime Minister's Office), Bank Negara Malaysia dan beberapa lagi agensi lain. Negara-negara luar seperti Singapura, Switzerland, Barbados, Hong Kong dan beberapa negara lain juga telah memberikan bantuan penyiasatan kepada SPRM melalui Perjanjian Bantuan Negara Asian (MLA) dengan membekalkan dokumen dan keterangan saksi yang diperlukan.

Pada 19 September 2018, tangkapan telah dilakukan ke atas bekas Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, bekas Menteri Kewangan dan bekas Perdana Menteri iaitu Dato’ Seri Mohd Najib Bin Abdul Razak kerana disyaki telah menyalahgunakan kedudukannya sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, Menteri Kewangan dan Perdana Menteri dengan memberikan arahan dan kelulusan terhadap pelaburan serta pinjaman yang dibuat oleh 1MDB.

Siasatan menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 23, ASPRM 2009 dan nilai rasuah untuk empat pertuduhan adalah seperti berikut:

  1. Nilai rasuah bagi pertuduhan pertama – RM60,629,839.43
  2. Nilai rasuah bagi pertuduhan kedua – RM90,899,927.28
  3. Nilai rasuah bagi pertuduhan ketiga – RM2,081,476,926.00
  4. Nilai rasuah bagi pertuduhan keempat – RM49,930,985.70

Kes ini diisytiharkan sebagai “the largest kleptocracy case” yang pernah dikendalikan oleh pihak Department of Justice (DOJ), Amerika Syarikat. Ini disebabkan kes ini melibatkan siasatan oleh pihak berkuasa di hampir 19 buah negara bagi menjejak dan memperolehi semula wang 1MDB yang telah diselewengkan di serata dunia.

Pertuduhan dan Perbicaraan

20 September 2018
25 pertuduhan dibacakan ke atas tertuduh di Mahkamah Tinggi Jenayah 1, Kuala Lumpur di hadapan YA Dato’ Collin Lawrence Sequerah. Empat pertuduhan adalah di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009, dan 21 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001 disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
Tertuduh tidak mengaku bersalah ke atas semua pertuduhan dan minta dibicarakan. Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM3.5juta dengan seorang penjamin.

21 Disember 2018
Tertuduh memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Jenayah, Kuala Lumpur untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada barisan pendakwaan.

1 Mac 2019
Mahkamah Tinggi Jenayah, Kuala Lumpur menolak permohonan pihak tertuduh untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada barisan pendakwaan. Tertuduh memfailkan pula rayuan ke atas keputusan tersebut di Mahkamah Rayuan, Putrajaya.

21 Mei 2019
Mahkamah Rayuan, Putrajaya menolak rayuan pihak tertuduh untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada barisan pendakwaan. Tertuduh memfailkan pula rayuan ke atas keputusan tersebut di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya.

7 Ogos 2019
Mahkamah Persekutuan, Putrajaya menolak rayuan pihak tertuduh untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada barisan pendakwaan sekaligus mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

28 Ogos 2019
Kes mula dibicarakan di hadapan YA Dato’ Collin Lawrence Sequerah di Mahkamah Tinggi Jenayah 1, Kuala Lumpur. Pihak pendakwaan memaklumkan akan memanggil 54 orang saksi bagi pihak pendakwaan.

11 September 2019
Perbicaraan ditangguhkan kerana tertuduh tidak sihat (demam) dan telah mengemukakan ‘Sijil Cuti Sakit’ kepada Mahkamah.

31 Oktober 2019
Perbicaraan ditangguhkan kerana tertuduh mengalami sakit mata (konjunktivitis) dan telah mengemukakan ‘Sijil Cuti Sakit’ kepada Mahkamah.

13 November 2019
Perbicaraan ditangguhkan kerana saksi pendakwaan iaitu Dato Shahrol Azral tidak sihat (throat infection) dan peguambela iaitu Tan Sri Muhammad Shafee bin Md Abdullah juga tidak sihat dan telah mengemukakan ‘Sijil Cuti Sakit’ kepada Mahkamah.

21 Februari 2020
Pihak pembelaan memohon penangguhan perbicaraan atas alasan Tan Sri Muhammad Shafee bin Md Abdullah ingin membuat persiapan perkahwinan anak beliau.

2 Mac 2020
Perbicaraan dilapangkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah 1, Kuala Lumpur bagi memberi laluan kepada kes SRC.

12 Mac 2020
Pihak pembelaan memohon penangguhan perbicaraan atas alasan Tan Sri Muhammad Shafee bin Md Abdullah dan pasukan peguambela menjalani kuarantin akibat kontak rapat covid-19.

18 - 31 Mac 2020
Perbicaraan ditangguhkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Akta Pencegahan Dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dikuatkuasakan bagi membendung wabak Covid-19.

13 - 15 Mei 2020
Perbicaraan ditangguhkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Akta Pencegahan Dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dikuatkuasakan bagi membendung wabak Covid-19.

18 Mei 2020
Pihak pembelaan memohon penangguhan perbicaraan atas alasan tertuduh menghadiri sidang Dewan Rakyat.

19 Mei 2020
Perbicaraan bersambung semula setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditarik semula.

29 Jun 2020
Pihak pembelaan memohon penangguhan perbicaraan atas alasan Tan Sri Muhammad Shafee bin Md Abdullah terlibat perbicaraan lain (kes Cradle Fund) di Mahkamah Tinggi, Shah Alam.

18 Ogos 2020
Pihak pembelaan memohon penangguhan perbicaraan atas alasan Tan Sri Muhammad Shafee bin Md Abdullah terlibat perbicaraan lain (No.05(L)-267-11/2018(R); Aminuddin bin Mohd Yasin & Anor v PP).

19 Ogos 2020
Pihak pembelaan memohon penangguhan perbicaraan atas alasan Tan Sri Muhammad Shafee bin Md Abdullah terlibat perbicaraan lain (No.08(f)-564-11/2018(W); Muhammad Shafee Abdullah V Tommy Thomas & 3 Ors).

5 - 12 Oktober 2020
Pihak pembelaan memohon penangguhan perbicaraan atas alasan tertuduh menjalani kuarantin 14 hari akibat kontak rapat covid-19 setelah menghadiri Pilihan Raya Negeri Sabah.

19 Oktober 2020 - 26 November 2020
Perbicaraan ditangguhkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di bawah Akta Pencegahan Dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dikuatkuasakan bagi membendung wabak Covid-19.

14 Disember 2020
Perbicaraan bersambung semula setelah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditarik semula. Pihak pembelaan memohon penangguhan perbicaraan atas alasan tertuduh menghadiri Sidang Parlimen Penggal Ketiga, Parlimen Keempat Belas 2020, Mesyuarat Ketiga.

24 Mei 2021
Perbicaraan ditangguhkan kerana tertuduh tidak sihat (sakit mata) dan telah mengemukakan ‘Sijil Cuti Sakit’ kepada Mahkamah.

29 Jun 2021 - 1 Julai 2021
Perbicaraan ditangguhkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Akta Pencegahan Dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dikuatkuasakan semula bagi membendung wabak Covid-19.

7 - 8 Julai 2021
Pihak pembelaan memohon penangguhan perbicaraan atas alasan pihak pembelaan menjalani kuarantin akibat daripada kontak rapat pesakit Covid-19.

13 - 15 September 2021
Perbicaraan dilapangkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah 1, Kuala Lumpur bagi memberi laluan pada kes WA-45-7&8-02/2019 (PP v Dato’ Seri Ahmad Zahid bin Hamidi).

20 -21 September 2021
Pihak pembelaan memohon penangguhan perbicaraan atas alasan memberi laluan pada kes WA-45-6-10/2018 (PP v Tan Sri Muhammad Shafee bin Md Abdullah).

4 - 7 Oktober 2021
Perbicaraan dilapangkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah 1, Kuala Lumpur bagi memberi laluan pada kes WA-45-7&8-02/2019 (PP v Dato’ Seri Ahmad Zahid bin Hamidi).

11 - 14 Oktober 2021
Perbicaraan dilapangkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah 1, Kuala Lumpur bagi memberi laluan pada kes WA-45-7&8-02/2019 (PP v Dato’ Seri Ahmad Zahid bin Hamidi).

18 & 20 - 21 Oktober 2021
Perbicaraan dilapangkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah 1, Kuala Lumpur bagi memberi laluan pada kes WA-45-7&8-02/2019 (PP v Dato’ Seri Ahmad Zahid bin Hamidi).

6 Januari 2022
Perbicaraan ditangguhkan kerana saksi pendakwaan iaitu Azmi Bin Tahir tidak sihat dan telah mengemukakan ‘Sijil Cuti Sakit’ kepada Mahkamah.

11 Ogos 2022
Pihak pembelaan memohon penangguhan perbicaraan atas alasan Tan Sri Shafee tidak sihat dan telah mengemukakan ‘Sijil Cuti Sakit’ kepada Mahkamah.

15 - 18 Ogos 2022
Pihak pembelaan memohon penangguhan perbicaraan atas alasan tertuduh perlu hadir di Mahkamah Persekutuan bagi kes Rayuan SRC.

22 - 24 Ogos 2022
Pihak pembelaan memohon penangguhan perbicaraan atas alasan tertuduh perlu hadir di Mahkamah Persekutuan bagi kes Rayuan SRC.

14 - 15 September 2022
Perbicaraan ditangguhkan kerana tertuduh tidak sihat (tekanan darah tinggi) dan telah mengemukakan ‘Sijil Cuti Sakit’ kepada Mahkamah.

6 Oktober 2022
Pihak pembelaan memohon penangguhan perbicaraan atas alasan Tan Sri Shafee tidak sihat (demam) dan telah mengemukakan ‘Sijil Cuti Sakit’ kepada Mahkamah.

17 November 2022
Pihak pembelaan memohon penangguhan perbicaraan atas alasan Tan Sri Shafee tidak sihat (demam) dan telah mengemukakan ‘Sijil Cuti Sakit’ kepada Mahkamah.

27 Januari 2023
Perbicaraan diteruskan dengan saksi bekas Pengurus Perhubungan AmBank Berhad, Joanna Yu Gan Ping.

30 Januari 2023
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar perbicaraan ditangguhkan selama dua hari kerana kematian Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Dato’ Seri Gopal Sri Ram.

2 Februari 2023
Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar telah dilantik menggantikan mendiang Dato’ Seri Gopal Sri Ram bagi mengetuai pasukan pendakwaan. Perbicaraan diteruskan dengan saksi bekas Pengurus Perhubungan Ambank Berhad, Joanna Yu Gan Ping.

3 - 9 Februari 2023
Perbicaraan diteruskan dengan saksi bekas Pengurus Perhubungan Ambank Berhad, Joanna Yu Gan Ping.

1 - 2 Mac 2023
Perbicaraan diteruskan dengan saksi bekas Ketua Perkhidmatan Pengurusan Dana Bank BSI (Singapura), Kevin Michael Swampillai.                         

17 - 18 April 2023
Perbicaraan diteruskan dengan saksi bekas Ketua Perkhidmatan Pengurusan Dana Bank BSI (Singapura), Kevin Michael Swampillai.

21 Jun 2023
Perbicaraan diteruskan dengan saksi daripada Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd iaitu Datuk Omar Mustapha yang merupakan “speechwriter” kepada Dato’ Seri Najib Razak.  Pada hari yang sama juga Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah iaitu bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan turut hadir memberi keterangan bagi mengesahkan rakaman audio daripada panggilan telefon yang dikatakan suara Najib.

26-27 Julai 2023
Perbicaraan diteruskan dengan saksi daripada BSI Bank Spore iaitu Kevin Michael Swampillai dan mantan Gabenor Bank Negara Malaysia iaitu Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

14 Ogos 2023
Perbicaraan diteruskan dengan saksi iaitu Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. Pihak pendakwaan membuat permohonan untuk menggugurkan hakim iaitu Dato’ Collin Lawrence Sequerah daripada mendengar perbicaraan kes kerana dikatakan terdapat “conflict of interest” antara beliau dan Jasmine Loo Ai Swan.

18 Ogos 2023
Hakim perbicaraan iaitu Dato’ Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan pihak pembelaan untuk menggugurkan beliau daripada menjadi hakim perbicaraan.

28-29 Ogos 2023
Perbicaraan diteruskan dengan saksi iaitu Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

30 Ogos 2023
Perbicaraan diteruskan pula dengan saksi daripada Bank Negara Malaysia iaitu Adam Ariff Mohd Roslan sebagai Penganalisa (Analyst) untuk jejak kewangan wang yang diterima oleh Dato’ Seri Najib.

Maklumat ini telah dikemaskinikan pada 11 September, 2023


Status Kes

Setakat ini seramai 44 orang saksi pendakwaan telah memberikan keterangan dan perbicaraan masih lagi berjalan sehingga kini di Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur di bawah Hakim Yang Arif Dato’ Collin Lawrence Sequerah.


Laporan Media

Kenyataan Media

Hit : 2176