Berita Terkini

Kes 1MDB (Pindaan Audit)

Siasatan SPRM

Pada 26 November 2016, satu operasi yang dinamakan “OPS PINDA” telah dimulakan yang mana terdapat dakwaan mengatakan pada tahun 2016, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak, bekas Perdana Menteri Malaysia, telah menggunakan jawatannya, dengan mengarahkan Tan Sri Ambrin Buang, bekas Ketua Audit Negara pada masa itu untuk meminda Laporan Pengauditan 1MDB bagi tujuan menyembunyikan hasil dapatan pihak Jabatan Audit mengenai penglibatan Datuk Seri Najib dalam skandal penyelewengan 1MDB. Ini adalah bertujuan bagi menyelamatkan dirinya dan jawatannya daripada dilibatkan dalam skandal 1MDB.

Pada 12 Disember 2018, Mohd Najib telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas satu pertuduhan yang mana beliau telah menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya sendiri, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC).

Pada tarikh yang sama juga, Arul Kanda Kandasamy iaitu bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat 1MDB juga telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di atas satu pertuduhan di mana beliau telah bersubahat dalam perlakuan kesalahan bekas Perdana Menteri itu.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dan Perbicaraan

4 Januari 2019
Pemindahan kes Arul Kanda Kandasamy dari Mahkamah Sesyen 8 ke Mahkamah Sesyen 9 untuk dibicarakan bersama kes Najib Razak

14 Mac 2019
Keputusan permohonan perbicaraan kes dijalankan di Mahkamah Tinggi Jenayah 2, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

16 April 2019
Kes perbicaraan telah dipindahkan kepada Mahkamah Tinggi Jenayah 2, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di hadapan Hakim Mohamed Zaini Bin Mazlan dan pertuduhan dipinda serta dibacakan semula kepada kedua-dua tertuduh.

18 November 2019
Perbicaraan kes bermula dengan membacakan pertuduhan pindaan kepada kedua-dua tertuduh dan selepas itu, perbicaraan dimulakan dengan memanggil saksi-saksi pendakwaan.

24 Jun 2020
Permohonan pindaan pertuduhan yang telah difailkan oleh pihak pendakwaan telah dibenarkan oleh hakim selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pihak pembelaan. Pertuduhan pindaan telah dibacakan semula kepada kedua-dua tertuduh.

27 Januari 2021
Pihak pembelaan (Mohd Najib) mengemukakan hujahan bagi permohonan untuk penyingkiran terhadap Dato Sri Gopal Sri Ram sebagai ketua pasukan pendakwaan kes ini. Pihak pembelaan dan pendakwaan mengemukakan hujahan.

15 Februari 2021
Hakim membuat keputusan dengan menolak permohonan pihak pembelaan untuk penyingkiran terhadap Dato Sri Gopal Sri Ram sebagai ketua pasukan pendakwaan kes ini.

14 Jun 2022
Pendengaran hujahan bagi pihak pembelaan dan pihak pendakwaan berkenaan dengan permohonan pihak pendakwaan di bawah Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 untuk memanggil tertuduh (Arul Kanda) memberi keterangan di kandang saksi.

24 Jun 2022
Hakim membenarkan permohonan pihak pendakwaan di bawah Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 untuk memanggil tertuduh (Arul Kanda) memberi keterangan di kandang saksi. Perbicaraan diteruskan dengan memanggil Arul Kanda memberi keterangan di kandang saksi.

15 November 2022
Pihak pendakwaan dan pihak pembelaan mengemukakan hujahan lisan masing-masing buat kali terakhir terhadap pertuduhan kedua-dua tertuduh sebelum hakim membuat keputusan terhadap kes ini.

3 Mac 2023
Mohd Najib dan Arul Kanda Kandasamy dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur setelah Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan wujud kes prima facie bagi pertuduhan berkenaan.

9 Mac 2023
Pihak pendakwaan telah memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan.

13 April 2023
Pengurusan kes rayuan pertama pihak pendakwaan dijalankan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Mohd Khairi Haron.

26 Mei 2023
Pengurusan kes rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Datuk Seri Najib Razak dan Arul Kanda daripada pertuduhan meminda Laporan Audit 1MDB.

Maklumat ini telah dikemaskinikan pada 26 Mei, 2023


Status Kes

Pengurusan kes rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Datuk Seri Najib Razak dan Arul Kanda Sedang dijalankan.


Laporan Media

Kenyataan Media

Hit : 1865