Berita Terkini

Kes YB Lim Guan Eng

Siasatan SPRM

Pada 1 Januari 2018, YB Lim Guan Eng telah disyaki menyalahguna kuasa dan kedudukan beliau sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dalam penganugerahan Projek Pembinaan 3 Jalan Utama dan Terowong Link ke-3 kepada syarikat Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd bernilai RM6.7 billion.

Hasil siasatan mendapati Guan Eng di dalam tempoh menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang dari 11 Mac 2008 sehinga 10 Mei 2018 telah menggunakan kedudukan beliau dengan mengambil tindakan memastikan syarikat Konsortium Zenith BUCG dilantik untuk menjalankan projek pembinaan yang tersebut.

Pada 7 Ogos 2020, beliau telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan nilai rasuah bagi pertuduhan pertama ialah permintaan 10 peratus daripada keuntungan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang. Guan Eng tidak mengaku bersalah dan Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin dengan RM1 juta dengan dua orang penjamin dan pasport antarabangsa diserahkan kepada Mahkamah sehingga kes selesai.

Pada 10 Ogos 2020, Guan Eng didakwa di atas satu (1) lagi pertuduhan dengan nilai rasuahnya adalah suapan wang tunai berjumlah RM3.3 juta di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang. Tertuduh mengaku tidak bersalah dan Mahkamah membenarkan beliau dijamin dengan wang jaminan yang sama seperti di baca di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 7 Ogos 2020.

Guan Eng turut dihadapkan dengan dua (2) pertuduhan pada 11 September 2020 di Mahkamah Sesyen dengan pertuduhan ketiga membabitkan pelupusan harta milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM135,086,094.00 bagi Lot 702 dan RM73,668,986.00 bagi Lot 713. Hakim Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes ni ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Pertuduhan dan Perbicaraan

7 Ogos 2020  Guan Eng menghadapi tuduhan meminta suapan 10 peratus keuntungan berhubung projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong di Pulau Pinang. Sebutan kes pada 9 September 2020

10 Ogos 2020  Guan Eng dihadapkan ke Mahkamah untuk pertuduhan menerima suapan wang tunai berjumlah RM3.3 juta.

11 September 2020  Bekas Menteri Kewangan ini didakwa dengan 2 pertuduhan iaitu melupuskan tanah-tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang iaitu Lot 702 bernilai RM135,086,094.00 dan RM73,668,986.00 bagi Lot 713. Hakim Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes ni ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

19 Oktober 2022  Guan Eng akan memfailkan permohonan bagi memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap pendakwaan kerana menyekat bukti dalam perbicaraan kes rasuahnya. Timbalan Pendakwa Raya didakwa gagal memberi maklumat penuh berhubung laporan forensik kepada saksi kelapan, membabitkan salinan digital perbualan WhatsApp antara Pengarah Konsortium Zenith dan seorang ahli perniagaan yang didakwa boleh membuktikan RM2 juta yang diberi kod nama 'coklat', tidak diberikan kepada Guan Eng.

5 April 2023  Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan Guan Eng mengarahkan pihak pendakwaan menyerahkan laporan forensik perbualan WhatsApp antara dua ahli perniagaan berhubung isu wang RM2 juta yang ditimbulkan dalam perbicaraan. Setakat ini, seramai 33 saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan.

18 April 2023 - Laporan Forensik perbualan di Aplikasi Whatsapp telah diserahkan kepada pihak pembelaan

10 Mei 2023 - Sebutan Kes dan Peguam Haijan Omar mengesahkan telah menerima laporan Forensik tersebut.

18 Julai 2023 - Kes perbicaraan berjalan seperti biasa. Keterangan saksi PTG iaitu Dato’ Hj Akmar bagi kertas minit MMK dan kelulusan tanah bagi menyokong pertuduhan di bawah seksyen 403 Kanun Keseksaan. 

20 & 21 Julai 2023 – Kes perbicaraan berjalan seperti biasa. Pemeriksaan balas peguambela terhadap saksi penting iaitu Encik Azli Bin Adam dan Encik Ibrahim Bin Sahari. 

31 Julai 2023 – Kes perbicaraan dilapangkan oleh Mahkamah. Tarikh-tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan oleh Mahkamah pada 7 dan 8 Ogos 2023, 28 Ogos 2023, 18 September 2023, 23, 24 dan 25 Oktober 2023 dan 1, 2 dan 3 November 2023.

Maklumat ini telah dikemaskinikan pada 2 Ogos, 2023


Status Kes

Kes masih dalam perbicaraan.


Laporan Media

Kenyataan Media

Hit : 4998