Garis Masa Kes

Kes Datin Sri Rosmah Mansor

Siasatan SPRM

Di antara tahun 2016 sehingga 2017, Datin Sri Rosmah Binti Mansor telah disyaki meminta dan menerima rasuah daripada Jepak Holdings Sdn Bhd sebagai balasan membantu mendapatkan Projek Sistem Solar Bersepadu Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel Bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1,250,000,000 secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pada 15 November 2018, tertuduh didakwa buat kali pertama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di atas dua pertuduhan meminta RM187.5 juta dan menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin berhubung projek solar hibrid di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009. Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin dengan RM1 juta dengan dua orang penjamin dan pasport antarabangsa dan diplomatik diserahkan kepada Mahkamah sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, pada 24 Januari 2019 pihak pendakwaan memohon dua kes tertuduh itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pertuduhan dan Perbicaraan

15 Mac 2019 — Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan dua kes rasuah tertuduh dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

10 April 2019 Tertuduh sekali lagi didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas satu pertuduhan menerima rasuah RM5 juta daripada individu sama membabitkan projek serupa.

5 Februari 2020— Perbicaraan hari pertama kes tertuduh yang menghadapi tiga pertuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

5 Ogos 2020 Tertuduh memohon untuk mendapatkan surat pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes itu.

19 Ogos 2020 — Mahkamah Tinggi menolak permohonan tertuduh untuk mendapatkan surat pelantikan Sri Ram.

9 September 2020 — Mahkamah Tinggi menolak permohonan tertuduh untuk melarang media melaporkan bahagian tertentu dalam penyataan saksi bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor yang dibacakan dalam perbicaraan kesnya.

23 November 2020 Tertuduh membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan surat pelantikan Sri Ram.

11 Disember 2020 — Pihak pendakwaan menutup kesnya selepas 23 saksi memberi keterangan.

18 Februari 2021 — Mahkamah Tinggi mengarahkan tertuduh membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

8 April 2021 — Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan tertuduh untuk mendapatkan surat pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam perbicaraan kes rasuahnya selepas pihak pendakwaan bersetuju untuk menyerahkan dokumen tersebut.

7 Mei 2021 Tertuduh memfailkan permohonan untuk mengisytiharkan prosiding perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid di Mahkamah Tinggi terbatal dan menggugurkan Sri Ram sebagai ketua pasukan pendakwaan.

24 September 2021 — Mahkamah Tinggi menolak permohonan tertuduh untuk membatalkan perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid dihadapinya dan menggugurkan Sri Ram sebagai ketua pendakwaan.

4 Oktober 2021 — Mahkamah Rayuan menolak permohonan tertuduh untuk menangguhkan perbicaraan kes rasuahnya sementara menunggu pelupusan rayuan beliau dalam kes sama.

5 Oktober 2021 Tertuduh memberi keterangan di Mahkamah Tinggi pada hari pertama prosiding membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah.

15 Oktober 2021 — Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan tertuduh supaya pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkan beliau ke Singapura untuk melawat anak perempuannya yang melahirkan anak kedua.

21 Oktober 2021 — Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk mencabar kredibiliti tertuduh berikutan percanggahan dalam keterangannya dalam perbicaraan kes projek solar hibrid dengan pernyataan yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam siasatan kes pengubahan wang haram.

6 Disember 2021 Tertuduh gagal dalam permohonan untuk membatalkan perbicaraan kes rasuah dihadapinya serta menggugurkan Sri Ram sebagai ketua pendakwa dalam kes itu selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuannya.

23 Februari 2022 — Pasukan pembelaan menutup kesnya selepas memanggil dua saksi iaitu tertuduh dan bekas Pengarah Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod.

5 April 2022 — Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan pendakwaan untuk memfailkan hujahan tambahan dalam kes tertuduh.

12 Mei 2021 — Mahkamah Tinggi menetapkan 7 Julai 2022 untuk keputusan kes tertuduh.

27 Mei 2022 — Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir tertuduh untuk membatalkan perbicaraan kes rasuahnya dan menggugurkan Sri Ram daripada menjadi ketua pasukan pendakwaan.

27 Jun 2022 Tertuduh sekali lagi memfailkan permohonan mencabar pelantikan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes rasuahnya dan membatalkan perbicaraan penuh kes tersebut.

1 Julai 2022 — Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh baharu pada 1 September untuk keputusan kes itu.

30 Ogos 2022 — Mahkamah Tinggi mengetepikan permohonan tertuduh itu.

31 Ogos 2022 Tertuduh memfailkan permohonan pada saat akhir supaya Hakim Mohamed Zaini menarik diri dari mendengar atau membuat keputusan berhubung kes itu.

1 September 2022 — Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan tertuduh Mansor bersalah atas tiga pertuduhan, Hakim Mohamed Zaini Mazlan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan dan denda RM970 juta terhadap Datin Seri tertuduh Mansor dan memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak.

19 Disember 2022 — Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan tertuduh pada 22 dan 23 Jun 2023, terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta, bagi kesalahan rasuah dikenakan terhadapnya.


2 Jun 2023 – Pihak pembelaan memfailkan notis usul menerusi Tetuan Akberdin & Co bagi membolehkan Datin Seri Rosmah ke luar negara bermula 6 jun 2023 sehingga 7 julai 2023. 

15 Jun 2023 - Mahkamah membenarkan notis usul yang dikemukakan pada 2 Jun 2023.

22 Jun 2023 – Datin Seri Rosmah gagal dalam usaha mencabar pelantikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram.

7 Julai 2023 – Mahkamah Rayuan membenarkan Datin Seri Rosmah tangguh pendengaran rayuan. Pendengaran kes seterusnya pada 18 September 2023.


Maklumat ini telah dikemaskinikan pada 2 Ogos 2023


Status Kes

Mahkamah membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman hingga rayuan selesai.


Laporan Media

Kenyataan Media

Hit : 5002