Kolumnis@SPRM

Masyarakat Berintegriti Atasi Kerumitan Pendakwaan Kes Rasuah


Datuk Wan Shaharuddin bin Wan Ladin

Timbalan Pengarah

Bahagian Perundangan dan Pendakwaan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat mendedahkan bahawa sejak 2018 sehingga Februari tahun ini, sebanyak 2,194 pertuduhan kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dibuat di mahkamah dan 1,234 telah disabitkan kesalahan bagi tempoh sama.

 

Dalam tempoh lebih lima tahun tersebut, peratusan kemenangan kes telah mencatatkan peratusan antara 90.5 hingga 92 peratus setiap tahun kecuali pada tahun 2019 iaitu hanya 78 peratus.

 

Berdasarkan angka-angka berkenaan, secara tidak langsung masyarakat boleh menilai sendiri usaha pihak pendakwaan dan penyiasatan kes-kes rasuah yang telah melakukan ikhtiar terbaik untuk menjamin keamanan dan keharmonian negara daripada cengkaman anasir rasuah ini.


Namun begitu, apa yang perlu difahami ialah bagaimana pihak penyiasatan dan pendakwaan menguruskan kes-kes rasuah ini sehingga suspek boleh dituduh dan akhirnya menerima hukuman yang setimpal.


Ini kerana, kefahaman tersebut akan menimbul kesedaran kepada masyarakat agar kita dapat memainkan peranan dalam usaha membanteras jenayah rasuah ini.


Dalam kes pendakwaan rasuah, ia tidak boleh disamakan atau dinilai sama seperti kes-kes jenayah lain.


Secara asasnya, terdapat dua kekangan utama yang perlu ditangani secara khusus dalam kes rasuah iaitu saksi dan proses rasuah itu berlaku.


Pertama, saksi kes rasuah berbeza dengan saksi bagi kes jenayah lain seperti bunuh, rogol, rompak dan sebagainya. Dalam kes bunuh atau rogol, saksi berkemungkinan terdiri daripada keluarga atau rakan mangsa yang sepenuh hati menentang perbuatan tertuduh.


Oleh sebab itu, saksi berkenaan akan memberikan keterangannya yang terbaik di mahkamah bagi memastikan tertuduh mendapat hukuman setimpal atas perbuatannya.


Namun begitu, sebaliknya berlaku dalam kes rasuah, ini kerana boleh dikatakan 99 peratus dalam jenayah rasuah melibatkan dua pihak yang saling mendapat keuntungan daripada pelakuan rasuah tersebut (win-win situation). 


Contohnya, pegawai kerajaan meminta wang rasuah kepada kontraktor bagi meluluskan projek. Dalam kes ini, pegawai kerajaan adalah pihak yang mendapat keuntungan kerana menerima wang rasuah manakala kontraktor juga mendapat keuntungan kerana memperolehi projek.


Malah, saksi-saksi kes rasuah juga kebanyakannya mempunyai hubungan yang rapat dengan tertuduh.

Kadang-kadang saksi juga merupakan rakan sekerja, pegawai bawahan atau rakan perniagaan kepada tertuduh. Saksi mungkin berasa takut kerana keterangannya boleh mendatangkan implikasi negatif terhadap diri dan mata pencariannya.


Oleh itu, saksi menjadi pihak yang amat berkepentingan dengan tertuduh. Saksi sebegini mempunyai potensi untuk berpaling tadah atau enggan bekerjasama yang amat tinggi dalam perbicaraan.


Kedua, kes rasuah bukanlah bersifat ‘one-off’ namun jenayah tersebut mempunyai proses atau sistemnya sendiri yang berlaku berkali-kali atau berterusan khususnya dalam kes-kes besar.


Proses tersebut melibatkan beberapa insiden, misalnya dalam kes rasuah berkaitan sesuatu projek, perbuatan meminta wang berlaku pada tahun 2018 ketika projek belum ditawarkan manakala perbuatan menerima wang pula berlaku pada 2020 iaitu ketika projek berjalan.


Bukan itu sahaja, selepas kes dikesan atau dilaporkan kepada pihak berkuasa, insiden-insiden lain juga boleh berlaku misalnya penerima dan pemberi suapan menukar perbuatan rasuah itu kepada pinjaman, hadiah, sumbangan atau seumpamanya bagi mengelirukan penyiasatan.


Malah terdapat juga kes yang mana suspek masih menerima sogokan menggunakan jawatan atau kedudukan terdahulunya disebabkan pemberi rasuah masih ‘terhutang budi’ dengan projek-projek yang telah diberikan.


Dalam hal berkenaan, pihak penyiasat dan pendakwaan perlu mengambil kira semua proses ini dengan teliti termasuk mengesan elemen ‘secara rasuah’ agar dapat dijadikan bukti yang kukuh di mahkamah kelak.


Elemen 'secara rasuah' itu merupakan satu proses yang panjang dan perlu dibukti bermula dari awal berlaku hingga ke akhir. Oleh sebab itu, ada kes-kes tertentu tempoh penyiasatan dan pendakwaan itu mengambil masa yang panjang khususnya melibatkan kes-kes berprofil tinggi.


Namun begitu, satu keistimewaan penyiasatan kes rasuah yang dilakukan oleh SPRM ialah perbincangan antara pegawai penyiasat dan pihak pendakwaan berlaku di peringkat awal lagi.


Pegawai siasatan akan meminta nasihat daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi mendapatkan pandangan serta hala tuju penyiasatan tersebut. Perkara seumpama ini akan lebih memudahkan pihak pendakwaan.


Hasilnya, dapatan siasatan akan lebih bermutu serta memenuhi ‘citarasa’ pihak pendakwaan. Yang paling utama, pendakwaan tidak boleh ‘hidup’ tanpa siasatan yang bagus.


Di samping itu, mengambil kira kerumitan dan kesukaran pendakwaan kes-kes rasuah ini, maka masyarakat wajib mewujudkan komuniti berintegriti khususnya dalam kalangan ketua jabatan dan penjawat awam.


Golongan ini perlu menjadi teladan sebagai kelompok yang menolak rasuah secara total. Perkara seumpama ini juga adalah selaras dengan ‘spirit’ kewujudan Akta SPRM 2009 itu sendiri yang menekankan aspek pencegahan.


Penjelasan tersebut berbunyi: Suatu Akta untuk menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, untuk membuat peruntukan yang selanjutnya dan lebih baik bagi pencegahan rasuah dan bagi perkara-perkara yang perlu tentangnya dan yang berkaitan dengannya.


Tanpa adanya golongan yang tidak berintegriti yang sentiasa mengambil kesempatan untuk meminta rasuah, sudah pasti kita dapat menangani isu rasuah ini atau setidak-tidaknya meminimumkan kes-kes rasuah yang berlaku di negara ini.


Hit : 3724