Berita Pendidikan

SPRM perjelas peranan Setiausaha Politik kepada Menteri Kabinet dalam menangani rasuah

KUALA LUMPUR, 30 April - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperjelaskan mengenai peranan Setiausaha Politik (SUPOL) kepada Menteri Kabinet dalam memerangi rasuah pada Program Permukiman Setiausaha Politik Kerajaan Perpaduan 2023 di Dewan Sri Baiduri, INTAN Bukit Kiara hari ini.

 

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali membentangkan tajuk 'Integriti Dan Tata Kelola Kerajaan' telah memfokuskan perkongsiannya kepada empat sub tajuk berkaitan latar belakang SPRM, situasi rasuah di Malaysia, risiko kesalahan rasuah utama berkaitan SUPOL dan inisiatif pencegahan rasuah yang telah dilaksanakan.

 

Penekanan kepada skop tugas dan fungsi SUPOL sebagai Anggota Pentadbiran di bawah Perlembagaan Persekutuan Perkara 160 dan Buku Kod Etika bagi Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen (Disember 2018) turut diperincikan kerana berisiko kepada kesalahan 'Salah Guna Kuasa' di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. Sebagai 'Pegawai Badan Awam', SUPOL juga diingatkan agar tidak menggunakan jawatan atau kedudukan rasmi dalam membuat keputusan secara langsung atau tidak langsung serta tidak mempunyai kepentingan dalam suatu keputusan yang dibuat. 

 

Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Dato' Seri Utama Zainal Rahim Seman telah berkongsi tajuk 'Pengharmonian Pentadbiran Awam Dan Pimpinan Politik' dan Pengarah Belanjawan Negara Kementerian Kewangan, Dato' Shahril Anuwar Sarwan dengan tajuk 'Prestasi Kewangan Negara Dan Aspirasi Penjimatan Kerajaan'.

 

Seramai 32 Setiausaha Politik Kementerian hadir ke program anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA); Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Razak School of Government (RAOG) ini.

 

Pemukiman ini bertujuan untuk memberi pendedahan mengenai agenda Malaysia MADANI, sistem pentadbiran kerajaan serta meningkatkan pemahaman mengenai konsep, prinsip dan panduan praktikal berkaitan struktur dan sistem pentadbiran negara.

 

Turut membentangkan tajuk adalah Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Haji Rodzi Md Saad mengenai 'Perkembangan Isu-isu Politik Semasa' dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dato' Dr. Zulkapli Mohamed dengan tajuk 'Isu Dan Cabaran Sumber Manusia Perkhidmatan Awam'.

 

Program diakhiri dengan Amanat dan Dialog Bersama-sama YAB Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Hit : 2070