Kolumnis@SPRM

Usaha berterusan, menyeluruh elak rasuah jadi budaya

Dr Mukhriz Mat Rus 

Penulis adalah Pensyarah Kanan (Jenayah & Keganasan)Pusat Pengajian Undang-Undang,

Universiti Utara Malaysia (UUM)



RASUAH dan penyelewengan adalah jenayah mengancam nilai dan aturan masyarakat. Setiap negara menggubal undang-undang anti rasuah sebagai antara langkah memerangi jenayah itu.


Undang-undang anti rasuah ditambah baik dari masa ke semasa bagi memastikan keberkesanan usaha dan upaya melawan rasuah. Namun, persoalan sering dibangkitkan, mengapa rasuah masih berleluasa biarpun negara memiliki undang-undang tegas menanganinya.



Membicarakan keberkesanan undang-undang anti rasuah, ada beberapa perkara perlu diberi tumpuan. Pertama, sifat jenayah rasuah itu sendiri berbeza dengan jenayah lain.


Rasuah lazimnya berlaku secara sukarela. Dalam erti kata lain, pemberi dan penerima mendapat keuntungan daripada jenayah ini. Kedua-dua pihak saling bersekongkol dan mendapat laba.


Lazimnya, jenayah rasuah terbongkar apabila satu pihak tidak berpuas hati. Disebabkan sifat rasuah ini, ada kala pihak pendakwaan terpaksa memilih pihak mana lebih wajar didakwa sama ada pemberi atau penerima.


Jenayah rasuah juga lazimnya dilakukan secara cukup sulit sehingga hanya pihak terbabit sahaja mengetahui. Hal ini berbeza dengan jenayah lain, lazimnya ada saksi bebas boleh dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah.


Oleh demikian, dalam keadaan tertentu, pendakwaan sukar dibuat kerana bagi kes jenayah, pihak pendakwaan perlu membuktikan kes mengatasi keraguan munasabah.


Bagaimana pun, kemajuan teknologi kini diharapkan dapat diguna pakai bagi memastikan kualiti siasatan dapat ditambah baik. Penggunaan peralatan canggih dilihat membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengumpul keterangan mengikut keadaan (circumstantial evidence) dan sokongan tanpa bergantung sepenuhnya kepada saksi bersubahat.


Seperkara lagi yang memberi kesan kepada penguatkuasaan undang-undang anti rasuah adalah dakwaan campur tangan orang politik atau pemerintah.


Pembabitan pihak berkedudukan dalam politik atau kerajaan turut memberi impak besar kepada usaha mencegah rasuah. Kedudukan dimiliki ada kala membolehkan golongan ini boleh terlepas daripada tindakan undang-undang.


Di samping itu, undang-undang anti rasuah dahulu lebih berkisar kepada tindak balas selepas jenayah rasuah berlaku, bukan mengutamakan pencegahan.


Penekanan kepada pencegahan lazimnya hanya terbatas kepada arahan pentadbiran dalaman, seperti kewajipan mengisytihar harta. Bagaimanapun, penggubalan undang-undang anti rasuah mula memperkasa unsur pencegahan.


Kaedah sering digambarkan sarjana undang-undang jenayah adalah sebagai pendekatan pra-jenayah (pre-crime approach). Intervensi awal dirumuskan bagi mencegah rasuah.


Misalnya, penggubalan Seksyen 17A, Akta SPRM secara tidak langsung mewajibkan badan korporat mempunyai tatacara mencukupi bagi mencegah rasuah dalam organisasi.


Jika gagal berbuat demikian, badan korporat boleh dipersalahkan jika kesalahan rasuah berlaku dalam organisasi terbabit. Ini selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-banga Bersatu Memerangi Rasuah (UNCAC) yang diratifikasi Malaysia.


Bagaimanapun, perlu ditekankan bahawa usaha membanteras jenayah dalam masyarakat tidak boleh hanya bergantung kepada reformasi undang-undang semata-mata.


Dalam buku 'Korupsi dan Kemunafikan dalam Politik Melayu. Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika', Almarhum Prof Kamal Hasan menegaskan reformasi undang-undang berkaitan korupsi atau politik wang semata-mata tidak akan menyekat sesetengah pihak menghindari penyakit gila kuasa, tamak dan nilai jelik menjadi punca rasuah.


Hakikatnya perlu diakui tetapi pahit untuk ditelan, rasuah di negara ini sudah lama berakar dalam masyarakat. Bergantung sepenuhnya kepada undang-undang seumpama hanya memangkas dahan dan ranting 'pokok rasuah', tapi bukan mencabut akarnya. Kelak pokok itu rimbun semula.


Usaha menyeluruh dan berterusan amat mustahak bagi memastikan rasuah dinyahbudayakan (denormalise) dalam masyarakat. Dalam erti kata lain, jangan sekali-kali dibiarkan rasuah dibiasakan atau digambarkan sebagai suatu yang biasa.


Penafian : Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pendirian rasmi SPRM. 



Hit : 2146