Kolumnis@SPRM

Sukar hapus budaya minta komisen sektor awam

Noor Mohamad Shakil Hameed
Timbalan Ketua Panel Pemikir Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)

MASALAH rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dilihat semakin membimbangkan merentasi semua sektor baik awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mahupun swasta. Justeru, masyarakat perlu berganding bahu bersama pihak berkuasa untuk menangani masalah ini secara menyeluruh dan membersihkan negara daripada isu integriti dan amanah.

Kebiasaannya, isu rasuah dalam perkhidmatan awam sering menarik perhatian khalayak kerana sektor ini sangat dekat dengan masyarakat terutama apabila melibatkan program dan projek berskala besar yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat dan pembangunan negara.

Data Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 2016 hingga Februari lalu menunjukkan kira-kira 3,118 penjawat awam ditahan bagi siasatan berkaitan pelbagai salah laku rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Tatkala perkhidmatan awam melahirkan begitu ramai ikon hebat dan berintegriti tinggi serta memberikan sumbangan signifikan kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara dalam pelbagai bidang, tindakan sekelompok penjawat awam tanpa rasa malu, segan dan takut terus bergelumang dalam rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa cukup mengecewakan.

Ironinya, masalah rasuah dalam perkhidmatan awam dilihat semakin serius dan membimbangkan. Satu laporan baru-baru ini mendedahkan, rasuah pada ketika ini berlaku dalam pelbagai bentuk termasuk tawaran berdasarkan hobi penjawat awam terlibat seperti bermain golf, bercuti atau menghadiahkan tanah-tanah lot.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan masih wujud ‘budaya lama’ cuba mendapatkan komisen ketika berurusan dengan kerajaan termasuk di pejabat beliau dan mahukan perkhidmatan awam mewujudkan tata kelola yang lebih baik, cekap serta bersih.

Dalam pada itu, kita juga perlu cakna amalan rasuah di GLC dan swasta juga semakin parah serta membimbangkan kerana nilai membabitkan sektor ini lebih tinggi dan mencecah ratusan juta ringgit. Misalnya, budaya menawarkan komisen antara lima hingga 15 peratus bergantung kepada nilai projek dilaporkan amalan lazim dalam sektor ini.

Jujurnya, bukan mudah untuk mengubah sikap menerima rasuah kerana mungkin sudah sebati dalam diri seseorang penerima untuk suatu tempoh masa yang lama. Tuntasnya, menerima rasuah menjadi amalan lazim dalam kalangan sekelompok pekerja yang sanggup menggadai maruah dan mengkhianati amanah. Namun, kita tidak boleh berdiam diri apatah lagi terus membiarkan mereka meneruskan amalan tersebut serta merosakkan lagi ekosistem pentadbiran negara.

Pada ketika ini, sudah ada tekad dan iltizam yang tinggi daripada Perdana Menteri sendiri untuk membanteras rasuah, namun ia perlu hadir dengan sokongan dan kerjasama semua pihak selain melalui kewujudan ekosistem bersesuaian supaya dapat menyokong hasrat kerajaan tersebut.

Ekosistem yang dimaksudkan perlu merangkumi aspek pendidikan kesedaran untuk mencegah dan menghalang amalan salah laku, kemampuan mewujudkan tata kelola dan tadbir urus baik, cekap dan bersih, kesanggupan setiap individu yang selama ini terbabit dalam rasuah berubah dan menginsafi kesalahan tersebut serta dilengkapi kewujudan undang-undang atau hukuman setimpal.

DRASTIK

Tuntasnya, sudah tiba masanya untuk kita mengambil langkah-langkah lebih drastik bagi membanteras penularan virus rasuah di negara kita secara menyeluruh. Budaya memberi dan menerima rasuah di semua sektor perlu dihentikan serta-merta. Segala ruang dan peluang yang ada perlu ditutup supaya mereka ini tidak lagi mengambil kesempatan.

Aspek pendidikan kesedaran perlu terus diperkasakan di semua peringkat lapisan masyarakat bermula dari sekolah. Biar setiap generasi warganegara sedar betapa jijiknya najis rasuah serta natijahnya kepada kehidupan rakyat, sistem pentadbiran serta kemajuan negara. Ibu bapa, guru, majikan, pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta semua pihak berkepentingan perlu memainkan peranan untuk memupuk budaya bencikan rasuah dalam kalangan masyarakat.

Semua sektor pekerjaan perlu tampil dengan amalan dan prosedur kerja baharu yang mampu mengekang segala jenis salah laku serta kepincangan supaya dapat membina, mewujudkan dan mempraktikkan budaya kerja yang baik.

Misalnya, budaya pemusatan kuasa yakni seseorang individu pegawai itu diberi kuasa yang terlalu besar untuk membuat keputusan sehingga mendorong salah guna kuasa perlu dihapuskan dan digantikan dengan mewujudkan lebih banyak lapisan pembuat keputusan dan tapisan ketat.

Selain itu, setiap organisasi juga perlu memperkasa proses pendigitalan sistem penyampaian perkhidmatan masing-masing dengan lebih menyeluruh supaya dapat mengurangkan ruang interaksi dengan menyediakan lebih banyak perkhidmatan dalam talian. Proses ini sekali gus akan mengurang dan menutup segala ruang serta peluang yang selama ini wujud untuk amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Di samping itu, hukuman terhadap kesalahan rasuah sedia ada juga wajar dikaji semula supaya betul-betul menakutkan dan memberi peringatan keras kepada semua. Hukuman berbentuk denda dan tatatertib dilihat tidak mencukupi, malah tempoh masa hukuman penjara yang ada juga perlu dinilai dan wajar ditambahkan. Pada ketika ini, hukuman yang ada ialah dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Sudah tiba masa juga untuk kerajaan memperkenalkan hukuman sebat mandatori kepada pemberi dan penerima supaya lebih menggerunkan dan mencegah lebih ramai lagi anggota masyarakat terbabit dalam kancah rasuah. Dalam konteks menilai hukuman yang ada, kita wajar mempelajari amalan baik dari beberapa negara yang sangat serius memerangi rasuah seperti di China dan Britain.

Kesan rasuah dan salah guna kuasa terhadap rakyat dan negara cukup besar, justeru semua pihak perlu memainkan peranan signifikan supaya dapat berganding bahu dengan pihak berkuasa seperti SPRM demi membina tamadun negara yang bebas rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Penafian : Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pendirian rasmi SPRM.   

Hit : 1609