Berita Menarik

SPRM Dekati Pengurusan Masjid Jameatus Solehah Anjur Program Antirasuah

DENGKIL, 11 April – Bersempena dengan bulan Ramadan Al-Mubarak, Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa (AJK) Pengurusan Masjid Jameatus Solehah Dengkil telah menganjurkan Program Antirasuah Masjid Jameatus Solehah (Pengurusan Dana Dan Tatakelola Masjid) di sini semalam. Program yang julung kali diadakan di masjid ini mendapat sambutan lebih 150 orang yang terdiri daripada AJK Pengurusan Masjid serta ahli kariah sekitar Dengkil.

Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk menyampaikan informasi berkaitan peranan AJK Pengurusan Masjid dalam memastikan pengurusan dana serta tatakelola masjid berjalan dengan penuh berintegriti yang mana ia menjadi langkah awal ke arah membanteras jenayah rasuah dalam kalangan AJK masjid dan ahli kariah sekaligus mencapai halatuju SPRM dalam mencegah ketirisan dana awam.

Program seawal jam 6.00 petang itu dimulakan dengan ucapan oleh Nazir Masjid Jameatus Solehah Dengkil, Dato’ Haji Sarani Haji Dollah serta ucapan daripada Pengarah Bahagian PenMas, SPRM, Datuk Razim Mohd Noor. Program kemudian diteruskan dengan bacaan tahlil serta majlis berbuka puasa.

Taklimat berkaitan sumber dana masjid, perbelanjaan dana masjid dan rekod perbelanjaan (penyata kewangan) serta keterangan tentang risiko ketirisan dana dalam tatakelola sesebuah masjid telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah, Bahagian PenMas, KPKPj Ab Muneim Ibrahim.

Turut diadakan adalah majlis menandatangani Akujanji Integriti oleh pihak pengurusan masjid dengan disaksikan oleh Datuk Razim Mohd Noor.

Hadir sama adalah Setiausaha Masjid Jameatus Solehah Dengkil, Haji Bahari Hasanuddin; Pegawai Hal Ehwal Islam Daerah Sepang, Ustaz Mohd Kamal Hassan serta pegawai-pegawai daripada PenMas SPRM.


Hit : 1863