Berita Pendidikan

Program Ihya’ Ramadan Dan Hidup Tanpa Rasuah

GEORGETOWN, 05 APRIL – Satu program IHYA’ RAMADHAN DAN HIDUP TANPA RASUAH telah dilaksanakan oleh pihak SPRM Pulau Pinang dengan kerjasama Masjid Al Huda Sungai Ara, Pulau Pinang. Program dimulakan dengan ucapan aluan oleh TPj Tuan Ruslan bin Tuan Mat, Pengarah SPRM Pulau Pinang. Salah satu intipati yang telah diberi penekankan oleh beliau adalah berhubung peranan utama Institusi Masjid sebagai pusat pembangunan dan pendidikan insan dari aspek rohani dan jasmani.

Taklimat berhubung peranan dan pengetahuan berhubung jenayah rasuah yang berfokus kepada isu-isu salahguna perolehan dari segi pengurusan kewangan masjid, serta kewajipan melaporkan jenayah rasuah yang termaktub dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 turut disampaikan oleh beliau kepada AJK-AJK Masjid Al Huda serta AJK-AJK masjid di sekitar Daerah Barat Daya. Seramai 300 orang masyarakat setempat di sekitar Sungai Ara hadir ke program dan satu sesi dialog bersama para hadirin juga telah berlangsung.

Program diteruskan dengan takzirah yang telah disampaikan oleh Al Fadzil Ustaz Mohd Shafii Yusoff Gani, penceramah bebas yang mempunyai banyak pengalaman dan juga seorang yang berpengaruh di sekitar Pulau Pinang dalam menyampaikan tazkirah di saluran radio Mutiara FM dan media sosial. Beliau menyeru kepada para hadirin agar perbuatan memakan dari sumber yang haram seperti rasuah dijauhi kerana rasuah itu mendapat laknat dari Allah S.W.T baik kepada pemberi mahupun penerima. Hadir sama dalam majlis ini adalah KPKPj Mohd Shukor Mahmud, Timbalan Pengarah Operasi, PKPj Chin Chen Huat, Timbalan Pengarah Pencegahan, PPj Roslan bin Deraoh, Ketua Cawangan Seberang Perai serta seluruh warga kerja SPRM Pulau Pinang yang beragama Islam.

 

 


Hit : 2014