Berita Pendidikan

SPRM BANTU PERKASAKAN NILAI ANTIRASUAH WARGA SPNB

KUALA TERENGGANU, 16Mac - Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) , Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan Kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) telah menganjurkan Bengkel Kesedaran Antirasuah & Integriti siri 1/2023 di Pejabat Cawangan SPNB Terengganu (Zon Timur).

Bengkel disertai seramai 25 orang peserta ini terdiri daripada barisan Pengurusan dan Eksekutif SPNB Terengganu, Kelantan dan Pahang (Zon Timur). Objektif penganjuran bengkel ini adalah untuk memberi kesedaran betapa pentingnya mewujudkan budaya antirasuah, tadbir urus dan integriti  warga kerja SPNB.

Bengkel yang diketuai oleh Ketua Cawangan Swasta, PKPj Awang Samsul Baharam bin Bungso telah berkongsi isu-isu semasa berkaitan perolehan, penguatkuasaan dan kesalahan-kesalahan di bawah Akta SPRM termasuk Seksyen 17A yang menekankan liabiliti korporat dan kesalahan-kesalahan organisasi komersial.

Sementara itu, Ketua Unit Integriti Encik Mohd Rashideen bin Abdullah dalam ucapan berkata, penganjuran program seperti ini merupakan satu platform memperkukuhkan kerjasama antara kedua belah pihak bagi meningkatkan tadbir urus dan mewujudkan persekitaran bebas rasuah di kalangan kakitangan SPNB itu sendiri.

Katanya lagi, melalui program ini membuktikan SPRM sentiasa proaktif dalam memberikan pengetahuan tentang usaha-usaha pencegahan rasuah secara komprehensif bagi menjamin persekitaran organisasi yang bebas daripada rasuah. Beliau juga mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada SPRM yang secara langsung memperkasakan nilai antirasuah di kalangan warga SPNB yang menyertai bengkel ini.

Turut hadir pada program ini adalah pegawai PenMas yang turut menjadi pemudah cara dalam bengkel tersebut.



Hit : 1622