Berita Menarik

BUAL BICARA ANTI-RASUAH : SPRM KELANTAN BERSAMA WARGA JABATAN IMIGRESEN KELANTAN

KOTA BHARU, 16 Mac  - Jabatan Imigresen Kelantan telah menyahut seruan SPRM untuk mempertingkatkan pengetahuan warganya berkaitan jenayah rasuah di bawah pengelolaan Bahagian Integriti yang diketuai oleh Puan Intan Nabila binti Ridzwan, Ketua Bahagian Integriti, Jabatan Imigresen Kelantan.

Sesi bual bicara yang bertajuk 'Rasuah Dalam Perolehan Kerajaan dan Pemantapan Integriti' disampaikan oleh Penguasa Wan Siti Junaida Binti Ismail, Ketua Unit Pendidikan Masyarakat SPRM Negeri Kelantan kepada 50 orang pegawai dan kakitangan awam dari Gred 38 ke bawah.

Semua peserta diberi penerangan berkaitan dengan 4 kesalahan utama rasuah yang diperuntukan melalui Akta SPRM 2009 serta kewajipan melapor di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009.

Peserta juga diingatkan tentang kepentingan integriti dalam melaksanakan tugas sebagai pegawai dan kakitangan Jabatan Imigresen bagi membendung berlakunya salah laku dan jenayah rasuah dalam organisasi.

Program ini diteruskan dengan sesi lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai  kesinambungan bagi pegawai dan kakitangan Gred 38 ke bawah yang belum melafazkan IBR sebelum ini.


Hit : 2006