Berita Menarik

SPRM tahan pesara kerajaan kemuka invois palsu RM36,000

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang pesara kerajaan selepas dipercayai mengemukakan dua invois palsu berjumlah RM36,000, hari ini.

Dua invois yang mempunyai butiran matan palsu itu dilaporkan diserahkan kepada sebuah pejabat daerah pada 2019.

Sumber berkata, suspek lelaki berusia 61 tahun itu dipercayai mengemukakan invois berhubung pembekalan makanan dan minuman kepada petugas di sebuah Kompleks Sukan Keningau sempena Sukan SAGA IX Keningau, mulai 5 hingga 13 Disember 2019, sedangkan pembekalan itu tidak dibuat.

Katanya, suspek ditahan di pejabat SPRM Sabah cawangan Keningau, kira-kira jam 10 pagi tadi.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan suspek dijangka dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, dalam masa terdekat.

Sementara itu, beliau juga mengingatkan kepada penjawat awam supaya tidak mengemukakan sebarang dokumen palsu dalam urusan tuntutan program kerajaan kerana ia kesalahan serius.


Hit : 1638