Berita Menarik

Penolong jurutera direman tiga hari

RAUB - Seorang penolong jurutera kanan direman tiga hari bermula Rabu bagi membantu siasatan kerana disyaki menerima suapan sebuah kereta mewah pada 2021 untuk mendapatkan projek.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret, Siti Aisyah Ahmad susulan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Raub di sini pada Rabu.

Lelaki berusia 47 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Raub ketika hadir memberi keterangan berkaitan kes tersebut pada jam 11.15 malam Selasa.

Suspek yang bekerja di sebuah agensi kerajaan di Bentong dipercayai telah menerima sebuah kenderaan Mitsubishi Lancer CT9A daripada seorang kontraktor yang telah mendapat projek di bawah seliaan suspek tersebut.

Suspek telah membocorkan maklumat anggaran harga jabatan kepada kontraktor berkenaan di dalam urusan pembelian dan pengisian borang tender yang dikeluarkan oleh agensi terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Sebelum itu, pada Selasa di mahkamah sama seorang kontraktor direman lima hari bermula Selasa hingga Sabtu bagi membantu siasatan kerana dipercayai memberikan suapan kereta mewah tersebut kepada penolong jurutera kanan terbabit.

Lelaki berusia 44 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Raub ketika hadir memberi keterangan berkaitan kes tersebut pada jam 11.30 malam Isnin.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Sumber : Sinar Harian

Hit : 1957