Berita Menarik

Kontraktor mengaku salah guna dokumen palsu

KANGAR: Seorang kontraktor mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar di sini hari ini atas tiga pertuduhan pilihan membabitkan kesalahan pemalsuan dokumen kewangan.

Tertuduh, Noorul Atifah Ahmad Suki, 44, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan 20 Mac depan untuk sebutan semula fakta kes dan menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Noorul Atifah didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu penyata akaun CIMB Bank Berhad milik Atidania Enterprise bagi bulan April, Mei dan Jun antara tahun 2021 sehingga 2022 sebagai tulen.

Tertuduh yang merupakan pemilik syarikat berkenaan didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) di sini antara 8 Julai sehingga 16 Julai 2021.

Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sewaktu prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Rehab Abdul Shukur memohon mahkamah mengenakan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin ke atas tertuduh sementara menunggu hukuman dijatuhkan.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh meminta agar mahkamah dapat memberikan jaminan dengan kadar yang rendah memandangkan anak guamnya telah memberi kerjasama penuh kepada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini dan tiada niat untuk melarikan diri.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin ke atas tertuduh yang membuat pembayaran berkenaan selepas prosiding itu.-UTUSAN


Hit : 1851