Berita Menarik

Pegawai Universiti direman tuntutan palsu bancian

SHAH ALAM – Seorang pegawai sebuah universiti direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengemukakan dokumen tuntutan palsu bagi projek pendidikan dipercayai berkaitan bancian berjumlah kira-kira RM330,000.

Perintah reman terhadap suspek wanita berusia 40 tahun dikeluarkan Majistret Mohamed Redza Azhar Rezali selepas permohonan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, suspek terdahulu ditahan kira-kira pukul 4 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati suspek merupakan Pegawai Penerbitan Kontrak itu telah mengemukakan dokumen tuntutan palsu melibatkan bayaran upahan berkaitan bancian.

“Suspek dipercayai membuat tuntutan palsu bernilai kira-kira RM330,000 antara tahun 2018 hingga 2022.

“Siasatan awal mendapati kakitangan di bawah suspek tidak terlibat langsung dengan aktiviti dan tuntutan tersebut,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. -KOSMO! ONLINE.


Hit : 1438