Berita IBR

Terengganu FC Melakar Sejarah Tersendiri Dalam Usaha Penolakan Budaya Rasuah Dalam Arena Bola Sepak Tanah Air

KUALA TERENGGANU, 25 Januari - Seramai 170 orang  terdiri daripada pemain, jurulatih dan pegawai kelab bola sepak TFC I, TFC II, TFC III, TFC IV dan TFC (Futsal) telah melaksanakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) untuk menzahirkan komitmen dalam usaha memastikan bola sepak tanah air bebas daripada rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa. Lafaz IBR ini diketuai oleh En Mohamad Kamal, Penolong Pengurus TFC.

Pada masa yang sama, TFC telah melakarkan sejarahnya yang tersendiri dengan melaksanakan pelancaran slogan antirasuah dan anti atur perlawanan iaitu “Play With Pride, No Match Fixing, Rasuah Dihina, Maruah Dibina”. Slogan ini akan dipaparkan pada skrin LED Stadium Negeri untuk setiap perlawanan bagi musim 2023 ini.

 

Majlis ini diadakan di Auditorium Kompleks Sukan Negeri Terengganu yang disaksikan oleh Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Terengganu, PKPj Sofian bin Haroon, yang mewakili Pengarah SPRM Terengganu. Turut hadir sama Tuan Haji Apli bin Yusof, Pengerusi Jawatankuasa Integriti merangkap Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), En. Abd Rasid bin Jusoh, Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn. Bhd, En. Mohd Sabri bin Abas, Ketua Pegawai Operasi TFC Sdn. Bhd. dan Timbalan Pengarah Operasi SPRM Terengganu, PPj Zainal bin Ayop.

Selepas majlis IBR berlangsung, satu taklimat Pencegahan Rasuah Dalam Arena Bola Sepak Tanah Air telah disampaikan oleh Ketua Unit Pendidikan Masyarakat SPRM Terengganu, KPKPs Mohd Hanafi bin Abd Rahim.

#RasuahDihinaMaruahDibina


Hit : 1328