Berita Pendidikan

Pasukan Projek Khas JKR Komited Mencegah Ketirisan Dalam Pengurusan Projek Kerajaan

PUTRAJAYA, 16 Januari - Pasukan Projek Khas 1 (PPK1) Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil inisiatif awal dengan mengadakan Program Mencegah Ketirisan dalam Pengurusan Projek Kerajaan dengan SPRM di Ibu Pejabat SPRM di sini. 

Pengarah Pembinaan PPK1, Dato' Ir. Roslan Ismail bersama 50 pegawai gred J48 dan ke atas amat cakna dengan isu ketirisan dana awam melibatkan jabatannya yang mengendalikan projek pembinaan infrastruktur kerajaan bernilai RM100 juta ke atas sebagai langkah awal memberi input antirasuah kepada warganya. 

Program dimulakan dengan sesi dialog oleh PKPj Samsul Salip yang berkongsi statistik siasatan SPRM terkini dengan fokus kepada isu rasuah dalam perolehan. Manakala Tenaga Pakar Bahagian Operasi Khas SPRM, Sr. Dr. Mohamad Rosdi Senam menjelaskan kes-kes rasuah dalam pembinaan dan risiko yang boleh terdedah kepada pegawai teknikal. 

Sesi diakhiri dengan lafaz Ikrar Bebas Rasuah yang disaksikan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, KPKPj Ab. Muneim Ibrahim.

#RasuahDihinaMaruahDibina

Hit : 1314