Berita Menarik

Bapa, anak perempuan antara empat kontraktor didenda palsukan dokumen

Tawau: Empat pemilik syarikat termasuk bapa dan anak masing-masing didenda antara RM20,000 hingga RM34,000 oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mengemukakan penyata akaun bank dan lesen perniagaan palsu, empat tahun lalu.

Tertuduh, Bahrin Ambo Eri @ Erek, 56, dan anak perempuannya Hasmizah, 29; Mohd Hafiz Irawan, 34, serta Muhammad Endra Abd Sarakal, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan alternatif dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mereka didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu penyata bank dan lesen perniagaan sebagai tulen yang dikemukakan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Semporna untuk mendapatkan tender menyewa dan menguruskan kantin sekolah rendah di bawah Kementerian Pendidikan.

Setiap tertuduh berdepan empat pertuduhan kecuali Muhammad Endra yang berdepan dengan dua pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Abu Bakar dalam penghakimannya berkata, perbuatan memalsukan dokumen adalah antara kesalahan yang kerap dilakukan oleh kontraktor dalam urusan perolehan tender kerajaan.

Namun tegasnya, kesalahan itu boleh dielakkan sekiranya mereka mematuhi segala syarat dan prosedur yang ditetapkan.

"Saya nasihatkan jika mahu masuk tender, kena ikut syarat selain pastikan modal di dalam akaun bank mencukupi dan bukannya mengambil tindakan memalsukan dokumen," katanya.

Selepas mendengar rayuan dan menerima pengakuan bersalah kesemua tertuduh, mahkamah kemudian memerintahkan Bahrin Ambo dan Hasmizah masing-masing didenda sebanyak RM32,000.

Manakala Mohd Hafiz didenda RM34,000 sementara Mohammad Endra pula didenda RM20,000.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rekhraj Singh, manakala kesemua tertuduh tiada diwakili peguam.

Sumber : Harian Metro

Hit : 1631