Kolumnis@SPRM

Sempena Hari Integriti Nasional 2022: Jadikan Integriti Budaya Hidup Keluarga Malaysia

Oleh
Noor Mohamad Shakil Hameed
Timbalan Ketua, Panel Pemikir Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)

HARI Integriti Nasional disambut setiap tahun pada 5 November sejak diisytiharkan pada tahun 2005. Sambutan dilaksanakan dengan pelbagai aktiviti atas platform Bulan Integriti Nasional dan tema sambutan tahun ini adalah “Integriti Teras Keluarga Malaysia” yang dilihat cukup signifikan untuk dihayati kerana kita perlu menjadikan integriti sebagai panduan dan budaya hidup seluruh Keluarga Malaysia.

Umumnya, sambutan Hari Integriti Nasional diraikan setiap tahun sebagai inisiatif berterusan untuk membudayakan integriti dan memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan setiap lapisan anggota masyarakat. Hakikatnya, usaha untuk memupuk nilai dan budaya integriti sebagai cara hidup rakyat tidak boleh dilaksanakan secara bermusim atau masa-masa tertentu sahaja. Hal ini kerana peningkatan secara drastik pelbagai salah laku moral seperti kes rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa di negara kita membuktikan masalah defisit integriti dalam kalangan rakyat pada ketika ini cukup membimbangkan dan tidak boleh dibiarkan terus merobek sistem moral dan nilai yang sepatutnya menjadi benteng integriti diri.

Mengikut tafsiran, integriti bermaksud kejujuran ataupun keadaan yang sempurna dan utuh. Tegasnya, integriti perlu berputik dari elemen keikhlasan diri seseorang individu. Bagi penulis secara mudahnya integriti ini boleh diumpamakan seperti mencari semut hitam yang berjalan di atas batu yang sangat hitam pada malam yang gelap gelita. Zahirnya memang tidak kelihatan tetapi ianya perlu ada dalam jiwa dan raga setiap manusia.

Secara prinsipnya setiap individu boleh dinilai tahap integriti diri berdasarkan sikap dan tingkah laku yang ditonjolkan tanpa dikaitkan dengan latar belakang pekerjaan, keluarga, agama mahupun bangsa. Misalnya, sebagai seorang peniaga adakah kita berniaga dengan jujur seperti tidak menaikkan harga sesuka hati serta tidak menjual barangan yang kurang berkualiti. Ringkasnya adakah kita berniaga tanpa menipu pelanggan? Ini ukuran integriti seorang peniaga.

Begitu juga halnya kita sebagai pengguna media sosial, apakah maklumat atau gambar yang dikongsi atau disebarkan itu betul dan sahih serta tidak palsu? Ini pula ukuran integriti seorang netizen. Hakikatnya setiap gerak geri kita boleh dinilai dan diukur berpaksikan budaya integriti termasuklah amalan seperti membuang sampah di merata-rata, merosakkan harta benda awam serta memandu melebihi had laju serta melanggar lampu isyarat pada ketika tidak diawasi oleh pihak berkuasa mahupun kamera perangkap had laju.

Mudahnya, integriti bermula dari diri kita sendiri dan kita perlu perbaiki masalah defisit integriti yang ada dalam diri yang selama ini dianggap sebagai perkara remeh, tidak mengapa mahupun langsung tidak rasa bersalah. Percayalah andai setiap seorang daripada kita boleh menjadikan integriti sebagai budaya hidup, kebanyakan masalah dalam masyarakat kita dapat diselesaikan dengan mudah.

Anggota masyarakat perlu sedar integriti adalah perbuatan betul yang perlu kita amalkan pada sepanjang masa walaupun tidak dipantau oleh mana-mana pihak dan tanpa mengharapkan sebarang ganjaran. Nilai-nilai integriti seperti amanah, jujur, telus, benar, berpegang pada janji, adil dan bertanggungjawab perlu dijadikan amalan seharian yang boleh bertindak sebagai perisai dan benteng yang menghalang kita dari terjebak ke dalam pelbagai masalah dan salah laku.
Secara prinsipnya integriti membabitkan soal sikap, tingkah laku dan amalan peribadi seorang individu di mana sikap tidak boleh diubah dalam sekelip mata dan juga sukar diubah oleh orang lain. Hanya kita yang mampu mengubah sikap dan tingkah laku diri sendiri. Amalan integriti yang negatif seperti salah guna kuasa, rasuah, menipu dan menyeleweng ini kebiasaannya dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti latar belakang keluarga, pengaruh rakan, tahap pendidikan dan juga kecetekan ilmu agama.

Oleh sebab itulah nilai-nilai integriti perlu dijadikan budaya hidup yang diterapkan dalam sanubari sejak seseorang individu itu kecil lagi supaya ianya boleh dihayati dan diamalkan sepanjang masa. Hanya dengan cara ini kita mampu melahirkan generasi yang mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian serta memiliki daya tahan dan jati diri yang kental untuk berpegang teguh kepada integriti sekali gus mampu menolak dan katakan tidak kepada amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Dalam pada itu kita juga berharap agensi seperti Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat terus melaksanakan pelbagai aktiviti berbentuk advokasi, literasi dan pendidikan kesedaran tentang keperluan untuk membudayakan amalan integriti dalam kehidupan seharian seluruh anggota masyarakat kita. Ironinya semua pihak perlu berganding bahu dan memikul tanggungjawab secara bersama untuk memupuk nilai integriti dalam kalangan rakyat secara total. Jangan sesekali kita berhenti, berputus asa mahupun kecewa jika apa yang kita buat pada ketika ini tidak memberi kesan segera sebaliknya yakinlah usaha berterusan mampu melahirkan generasi masa hadapan yang hidup berpaksikan integriti dan nilai-nilai terpuji pada satu hari nanti.

Marilah kita raikan, amalkan dan budayakan integriti dalam kehidupan seharian secara konsisten dan bukannya pada hari atau bulan tertentu sahaja. Hal ini penting kerana bukan mudah untuk mempertahankan nilai integriti diri kerana kita sering berhadapan dengan pelbagai cabaran, dugaan dan godaan. Justeru anggota masyarakat perlu menjadikan integriti sebagai budaya hidup yang mampu menyelamatkan maruah diri, keluarga, agama, bangsa dan juga negara. Selamat menyambut Hari Integriti Nasional 2022.

Penafian : Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pendirian rasmi SPRM.

Hit : 322