Berita Menarik

Pengurus besar dituduh lupus harta RM10.6 juta

SHAH ALAM: Seorang pengurus besar syarikat pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, hari ini, atas empat pertuduhan pelupusan harta bernilai RM10.6 juta, di antara 2017 dan 2018.

Tertuduh, G Paismanathan, 52, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Bagi semua pertuduhan, Paismanathan didakwa telah dengan curang menyebabkan seorang wanita melupuskan harta milik dua buah syarikat bagi pembayaran kepada satu syarikat lain berjumlah keseluruhan RM10.6 juta.

Ini membabitkan sembilan kerja yang diketahui tertuduh tidak wujud.

Dia melakukan kesalahan itu, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh didakwa melakukan semua perbuatan itu di sebuah syarikat di Ara Damansara, di antara 1 Ogos 2017 hingga 5 Ogos 2018.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Akram Gharib, menawarkan jaminan RM500,000, dengan RM250,000 dibayar pada hari ini dan baki dibayar sebelum atau pada hari sebutan semula kes.

Ahmad Akram juga menetapkan syarat tertuduh dijamin dengan dua penjamin warganegara, menyerahkan pasport untuk simpanan mahkamah serta perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Peguam, Amir Farid Nawawi dan Mohd Rizal Bahari mewakili tertuduh tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap syarat yang ditetapkan pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian membenarkan semua cadangan pihak pendakwaan, termasuk bayaran ansuran jaminan dengan pembayaran kali kedua sebelum atau pada Khamis depan.

Sebutan semula ditetapkan pada 17 November ini.

Sumber : Berita Harian

Hit : 1893