Berita Menarik

Lelaki didakwa tipu pemilik syarikat RM100,000

KOTA KINABALU: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menipu seorang pemilik syarikat membabitkan kerugian RM100,000 bagi memperoleh projek membekal bahan mentah dan kering di negeri ini pada 2013.

Tertuduh, Fariz Fadila Ag Kamarudin, 35, yang bekerja sendiri membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan menawarkan untuk membuat usaha sama dengan syarikat terbabit bagi menjalankan projek itu hingga mendorong pemilik syarikat menyerahkan RM100,000 di daerah Penampang antara Januari hingga April 2013.

Fariz Fadila didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara antara setahun hingga 10 tahun dan dengan sebat serta boleh juga didenda. Hakim Abu Bakar membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin, selain perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 Januari depan untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Nurul Izzati Sapifee, manakala Fariz Fadila tidak diwakili peguam.

Sumber : Berita Harian

Hit : 1888