Berita Menarik

Pengarah syarikat mengaku tidak salah palsukan dokumen

SEBERANG PERAI – Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Butterworth di sini hari ini atas pertuduhan memalsukan dokumen untuk mendapatkan keuntungan berjumlah RM4,950 tahun lalu. Tertuduh, K. Surinderan,38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan curangnya telah menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu dokumen penghantaran Syarikat Sol N Sons Sdn. Bhd. yang bernilai RM4,950.Tertuduh melakukan perbuatan itu di Lebuh Sungai Pinang, Jelutong pada 10 Mac 2021.

Oleh itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun yang sama, iaitu sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilaksanakan oleh Pegawai Pendakwa, Abd Muntaqim Abdul Aziz manakala tertuduh diwakili E. Gunasegaran. Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 selain menetapkan 25 November depan tarikh sebutan semula kes.

Sumber : Kosmo

Hit : 1924