Kes-kes Menarik

Suapan lebih RM100,000 untuk dapat kontrak Maktab PDRM, pegawai KDN didakwa

SHAH ALAM: Seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, di sini, pada Selasa atas empat pertuduhan menerima suapan lebih RM100,000 bagi membantu sebuah syarikat kontraktor mendapatkan projek di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Kubu, Selangor.

Muhammad Syamsi Irwan Hawalit, 47, didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM80,000 dan sebuah Motosikal Yamaha XMAX bernilai RM22,200 daripada Hafiz Ismail, pemilik Fizwa Global Resources dan Najib Rashdan, secara berasingan.

Suapan itu adalah sebagai balasan mendapatkan kontrak perolehan perkhidmatan memotong rumput, mencuci pejabat, bilik kuliah dan parit bernilai RM1.6 juta yang dianugerahkan kepada syarikat itu di Serdang dan Kajang, Selangor antara Jun 2017 dan 18 Mac 2019.

Ketika kejadian tertuduh merupakan Penolong Setiausaha di Bahagian Perolehan KDN, Gred M44.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Hakim Ruzilah Salleh membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM60,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua empat pertuduhan.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh untuk melapor diri pada setiap bulan di pejabat SPRM Selangor dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 Oktober ini sebagai tarikh pengurusan kes.

Pendakwaaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Nor Hafidzuddin.

Sumber : Astro Awani

Hit : 400