Kes-kes Menarik

Pemilik syarikat didakwa palsukan dokumen dana Penjana Kerjaya

Kuala Terengganu: Pemilik syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan memalsukan dokumen berkaitan dana insentif Program Penjana Kerjaya 1.0 (Penjana Kerjaya).

Tertuduh, Ezza Suria Muda, 37, membuat pengakuan itu dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memalsukan Borang Pendaftaran Pekerja di bawah Peraturan-peraturan(AM) Keselamatan Sosial Pekerja 1971 (Peraturan 10,12 dan 12A) bertarikh 3 November 2020 dan 23 November 2020 yang mengandungi senarai nama pekerja ESM Suria Enterprise dengan tujuan untuk menipu.

Kesalahan itu dilakukan di Akademi Binaan Malaysia Wilayah Timur, Hulu Terengganu November 2020.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan itu berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 18 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada SPRM Terengganu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar.

SPRM dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebelum ini melancarkan Ops Hire bagi menyiasat isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif Penjana Kerjaya di beberapa negeri.

Program Penjana Kerjaya antara inisiatif kerajaan bagi membantu majikan dan pekerja semasa mendepani cabaran Covid-19 bermula awal 2020.

Sumber : Harian Metro


Hit : 484