Berita Menarik

Bekas Pengarah Imigresen Perak dipenjara 3 tahun kerana rasuah

Ipoh: Bekas Pengarah Imigresen Perak dan bekas Ketua Unit Pendakwaan Imigresen negeri dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM85,000 selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah, tujuh tahun lalu.

Keputusan akhir kes pembelaan itu dibuat oleh Hakim S Indra Nehru di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.

Selain itu, tertuduh, Zulhairin Yahya, 50, dan Zaidi Dali, 54, turut berhadapan penjara 18 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor, manakala Zulhairin diwakili peguam bela Mohd Baharuddin Ahmad Kassim dan Zaidi diwakili Zamri Idrus serta Mohd Fadly Hashim.

Mengikut kertas pertuduhan, Zulhairin dan Zaidi masing-masing didakwa meminta wang RM10,000 setiap bulan daripada Nga Chee Jiek untuk memastikan Jabatan Imigresen tidak melakukan pemeriksaan dan serbuan terhadap pusat hiburan 'The Bos KTV' di Pusat Bandar Seri Manjung.

Kesalahan itu dilakukan di Rumah Kelab Meru Valley Golf and Country Club di sini, kira-kira jam 9 malam, 5 November 2015.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(b) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Zulhairin turut didakwa menerima RM7,000 daripada individu sama di Restoran Knock Knock Meru Raya di sini jam 12.05 tengah malam, 11 November tahun sama, manakala Zaidi turut dituduh menerima suapan RM7,000 daripada individu sama di tempat letak kereta Meru Valley Golf and Country Club di sini, jam 9.55 malam, 11 November tahun sama.

Oleh yang demikian, kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman sama.

Bagi pertuduhan bersama, Indra Nehru menjatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 ke atas kedua-dua tertuduh manakala penjara tiga tahun dan denda RM35,000 masing-masing bagi tuduhan kedua.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini, dan mengekalkan jaminan RM30,000 ke atas kedua-dua tertuduh seperti yang diputuskan Mahkamah Sesyen lima tahun lalu.

Sumber : Harian Metro

Hit : 1956