Kes-kes Menarik

Kemuka tuntutan palsu, 3 individu direman

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga individu bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM300,000 pada 2016.

Sumber berkata, perintah reman selama tiga hari bermula semalam itu dikeluarkan Majistret Nor Azean Mohd Sohaini selepas SPRM mengemukakan permohonan berkenaan di Mahkamah Shah Alam, pagi tadi.

"Ketiga-tiga suspek termasuk seorang wanita berusia antara 34 hingga 56 tahun itu ditangkap di pejabat SPRM Selangor semalam (kelmarin) ketika hadir memberi keterangan.

"Semua suspek yang ditahan adalah kontraktor, pemilik syarikat pembekal bahan binaan dan bekas pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah di Selangor.

"Mereka dipercayai mengemukakan tuntutan mengandungi butiran palsu bernilai kira-kira RM300,000 kepada PIBG sekolah salah seorang suspek bagi kerja pembinaan blok baharu di sekolah itu sedangkan kerja berkenaan tidak disempurnakan," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Sumber : Astro Awani

Hit : 507