Kes-kes Menarik

Dua individu ditahan kes rasuah lebih RM10 juta

Kuala Lumpur: Dua individu ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan urusan pengambilalihan kerja membabitkan projek pembinaan sistem pengangkutan awam berjumlah lebih RM10 juta.


Suspek wanita dan lelaki masing-masing berusia 40-an ditahan ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya pada 9.30 malam semalam.


Sumber berkata, suspek wanita yang juga pengurus kewangan sebuah syarikat dipercayai melakukan pembayaran rasuah lebih RM10 juta bagi memudahkan urusan dan kelulusan pengambilalihan kerja membabitkan projek itu daripada sebuah syarikat lain kepada syarikat suspek bekerja.


"Wanita terbabit yang bertanggungjawab melakukan pembayaran wang itu dipercayai melakukannya tanpa mematuhi prosedur kewangan dan perolehan syarikat.


"Suspek lelaki yang bertugas sebagai ketua bahagian pemasaran syarikat sama pula disyaki membuat pembayaran kepada enam individu dan entiti berbeza dipercayai palsu," katanya.


Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata,

kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.


Menurutnya, kedua-dua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga Jumaat ini.


Hit : 671